KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 umat Islam hari ini bersolidariti menyatakan bantahan terhadap rampasan kuasa oleh tentera Mesir ke atas Presiden yang dipilih secara sah Dr Muhammad Morsi. Himpunan bermula sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan kemudian berarak ke bangunan Kedutaan Mesir di Jalan Ru, Ampang Hilir yang berjarak tidak kurang 5 kilometer.
Mengepalai perarakan tersebut, pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil, Riduan Mohd Nor, Kamaruzzaman Mohamad, wakil muslimat Ustazah Nuridah Saleh dan lain-lain. Himpunan ini turut disertai wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Haluan Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) serta Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Abim, Gema dan Aqsa Syarif.
Peserta masing-masing membawa poster Morsi serta kain rentang yang mengutuk tindakan mencabul demokrasi tentera Mesir itu. Antara lain poster tersebut tertulis 'The President kidnapped, Now showing in Egypt'. Sementara itu, polis bertindak menutup laluan di hadapan bagunan kedutaan. Dianggarkan hampir 100 anggota polis termasuk pasukan Light Strike Force (LSF) berkawal di jalan masuk menuju ke bangunan kedutaan.
Peserta perarakan yang tiba dihalang masuk ke laluan yang ditutup, dan mereka berkumpul kira-kira 150 meter dari pintu masuk bangunan kedutaan. Pihak keselamatan hanya membenarkan enam wakil untuk masuk mengadakan perbincangan dan menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan.
Sementara menunggu penyerahan memorandum selesai, beberapa wakil parti dan NGO memberi ucapan kepada peserta dari atas pacuan empat roda. 15 minit kemudian wakil-wakil yang mengadakan pertemuan dilihat keluar dari bangunan kedutaan dan menyertai himpunan.(Hrkh)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan