SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Sabtu, 24 Ogos 2013

Apa Reaksi Bapa Altantuya : Berhubung Pembebasan Azilah Dan Sirul ?



[TMI] "Tiba masanya pemerintah Mongolia membuat kenyataan berhubung keputusan itu."

Demikian reaksi Setev Shaariibuu, bapa kepada penterjemah dan warganegara Mongolia, Altantuya.

Setev yang dilaporkan sudah menjangka keputusan itu bercadang akan membawa kes anaknya ke peringkat lebih tinggi, bagi menegakkan keadilan untuk mendiang anak perempuannya itu.

Menurut peguamnya, Setev mahu pemerintah Mongolia terlibat dalam urusan kes ini.

"Dia akan membuat kenyataan selepas mendapat surat rasmi daripada mahkamah Malaysia atau daripada peguammnya di Malaysia Karpal Singh," katanya dipetik dari Malaysiakini.

Ketika Mahkamah mengumumkan keputusan membebaskan dua bekas anggota polis yang dituduh membunuh anaknya pada Oktober 2006, Setev dilaporkan menerima berita itu dengan perasaan sedih.

Hari ini, mahkamah membebaskan dua bekas komando polis selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan mengubah sabitan terhadap mereka atas tuduhan membunuh Altantuya.

Panel tiga hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara membenarkan permohonan rayuan bekas ketua inspektor Azilah Hadri dan bekas korperal Sirul Azhar Umar.

Kedua-duanya sebelum ini disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di hutan simpan di Shah Alam pada 2006.

Mereka pada ketika itu bertugas di Unit Tindakan Khas Bukit Aman dan berada dalam pasukan keselamatan Datuk Seri Najib Razak.

Najib pada ketika itu ialah timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan.

Keputusan ringkas selama lima minit yang dibacakan Tengku Maimun itu, beliau berkata hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan alibi pembelaan yang difailkan oleh Azilah.

Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, sementara Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Redzua Merican mewakili Sirul.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mewakili responden berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Sementara itu, Ketua Undang-Undang Nasional DAP, Gobind Singh Deo, berkata rayuan dibenarkan kerana kegagalan memanggil saksi material.

“Bukti terkuat sepatutnya ialah siapa yang memberi arahan dan kepada siapa ia diberikan. Bolehkah Peguam Negara beritahu kami siapa orang itu?” kata Gobind dalam akaun Twitternya.

Keputusan hakim itu menyebabkan Karpal Singh yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak Setev, berkata beliau akan membuat tuntutan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas pegawai khasnya, DSP Musa Safri akan disapina untuk memberi keterangan dalam tuntutan sivil yang difailkan Setev, bapa Altantuya.

Peguam, Karpal Singh berkata akan mendesak tuntutan tersebut didengar tidak lama lagi. Setev memfailkan tuntutan sivil RM100 juta terhadap Abdul Razak Baginda, Azilah Hadri, Sirul Azhar Umar dan kerajaan Malaysia pada Jun 2007.

Tuntutan itu ditangguhkan berikutanmemberi laluan terlebih dahulu kepada rayuan yang difailkan Azilah dan Sirul. Kedua-dua anggota polis itu dibebaskan hari ini sementara Razak yang dituduh bersubahat dengan kedua-duanya itu dibebaskan pada Oktober 2008.

“Kita kini akan memanggil perdana menteri dan Musa. Musa tidak boleh bertindak sendiri,” kata Karpal di Shah Alam, hari ini. – 23 Ogos, 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan