SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Ahad, 29 September 2013

Negeri Pengeluar Petrolium Ramai Rakyat Miskin



KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan mewujudkan mekanisme bagi menentukan keberkesanan peruntukan yang dibelanjakan kepada rakyat.
Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah (PAS-Kuala Terengganu) berkata, kerajaan harus memberikan perhatian kepada peningkatan taraf hidup rakyat di luar bandar dengan bantuan yang diberikan.
“Sepatutnya laporan bajet diukur mengikut jumlah peruntukan dan juga jumlah yang dibelanjakan iaitu laporan mesti mengukur keberkesanan untuk mengurangkan dan menghapuskan kemiskinan.
“Oleh itu perlu satu mekanisme diwujudkan supaya menyentuh bagaimana berkesannya peruntukan yang telah dibelanjakan dan bukan hanya melibatkan statistik iaitu berapa ribu kilometer jalan yang telah dibina tetapi berapa berkesankan jalan telah dibina itu untuk manaikkan taraf hidup kemiskinan di kawasan luar bandar,” kata beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga berkata, Majlis Penasihat Petroleum Negara perlu dihidupkan semula seperti dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974.
Hal ini kerana katanya, negeri-negeri pengeluar utama petroleum seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak masih menunjukkan kadar kemiskinan tertinggi.
“Dari segi pengeluaran kekayaan hasil bumi iaitu negeri pengeluar minyak dan gas terutama Terenganu, Sabah dan Sarawak walaupun selepas 35 tahun menerima royalti tetapi masih di antara negeri yang mempunyai rakyat termiskin selepas 35 tahun diberi royalti.
“Di sinilah perlu diukur sampaikah matlamat atau sumber pendapatan daripada peruntukan kepada rakyat yang dihajatkan.
“Mungkin satu cara dengan mewujudkan majlis penasihat petroleum seperti yang diperuntukkan dalam Akta Petroleum 1974 supaya negeri ini dapat berbincang dengan Kerajaan Pusat untuk menaikkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasin dalam jawapannya berkata, soal keberkesanan bantuan yang diberikan kerajaan kepada rakyat harus dibuat kajian.
“Antara kesannya kesan langsung dan tidak langsung. Kesan langsungnya ialah orang menghargai program yang dibuat kerajaan BN tapi secara tak langsung pihak pembangkang di kawasan yang kita bantu dapat keuntungan.
“Banyak di kalangan orang miskin lebih mudah menyokong pembangkang sebab pembangkang ni pandai. Dia datang hari akhir (kempen), BN datang awal,” katanya.
Beliau juga mendakwa, terdapat rakyat miskin yang juga ‘miskin minda’ kerana tidak bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan.
“Kalau orang miskin mempunyai minda yang kuat dan diajar bersyukur sudah pasti dia menyokong BN,” katanya.
Raja Kamarul dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan Malaysia mempunyai mekanisme untuk mengukur keberkesanan bajet-bajet tahunan setiap tahun untuk menaikkan taraf hidup serta menghapuskan kemiskinan di negeri-negeri termiskin tertentu di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan