SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Ahad, 29 September 2013

Projek Mega Untuk Kroni..??

Gambar hiasan


Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang dianugerahkan kepada dua konsesi dipercayai rapat dengan Umno menimbulkan kebimbangan penduduk setempat di Petaling Jaya dan mendakwa Putrajaya menyembunyikan sesuatu daripada mereka.

Sehubungan itu, penduduk sekitar Seksyen 19, Petaling Jaya mengadakan protes kecil menuntut Putrajaya menjelaskan kepada mereka peta sebenar projek Kidex yang bakal dijalankan bagi mengelakkan kekeliruan.

Projek menelan belanja RM2.2 bilion itu sebelum ini dikritik oleh pembangkang Pakatan Rakyat (PR) kerana diberikan kepada dua konsesi milik dua tokoh yang terlibat dengan rampasan kuasa oleh Umno di Perak pada 2009.

Dua tokoh itu ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan penasihat undang-undang Umno, Datuk Hafarizam Harun.

Kontroversi kembali mendapat perhatian, selepas penduduk di Seksyen 19 melahirkan kebimbangan dipaksa berpindah bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan 19/20, Tan Yew Leong, berkata hanya menyedari mengenai kemungkinan akan diarahkan berpindah selepas menemui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menyemak projek Kidex itu.

"Saya pergi ke MBPJ untuk menyemak mengenai Lebuhraya Kidex yang dikatakan akan dibina di sini dan saya terkejut apabila diberitahu bahawa beberapa lot rumah mungkin menerima kesan daripada projek itu.

"Ini bukan hanya rumah saya, tetapi hampir 3,000 penduduk sekitar akan menerima kesan daripada projek tersebut," katanya ketika ditemui pagi ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing, Rajiv Risyakara yang hadir sama dalam protes itu, turut menunjukkan surat daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanan dan Galian (Persekutuan) yang menyatakan terdapat kemungkinan pampasan akan diberikan kepada penduduk sekiranya projek tersebut dilaksanakan.

"Surat bertarikh 31 Julai dihantar kepada MBPJ menjelaskan lokasi yang mungkin menerima kesan daripada pembinaan lebuh raya tersebut.

"Surat itujuga menerangkan pampasan akan diberikan sekiranya terkena kawasan yang diperlukan untuk membina lebuh raya tersebut," kata Rajiv.

Pengerusi Penduduk rumah pangsa Damansara Bistari, Abdul Samad Abdul Rashid, berkata mereka mendesak Putrajaya tampil secara telus untuk beri penjelasan dan bukan hanya berdiam diri.

"Kerajaan kena beri penjelasan kepada kami apa yang sebenarnya di sebalik projek lebuh raya ini.

"Jangan sampai sudah hendak bina baru beritahu kepada penduduk," kata Abdul Rashid yang sudah menetap selama hampir enam tahun di rumah pangsa tersebut.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata sehingga sekarang cubaan pihak pembangkang untuk mendapatkan butiran mengenai projek lebuh raya tersebut gagal, malah menteri juga enggan bekerjasama untuk mendedahkan mengenai projek tersebut.

"Apa yang kami mahu sekarang ialah maklumat dan ketelusan. Kerajaan mesti dedahkan dan terangkan butiran projek ini," kata Pua.

Minggu lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata kerajaan tidak dapat memberikan sebarang maklum balas mengenai projek tersebut kerana rundingan masih belum dimuktamadkan dan perjanjian konsesi belum ditandatangani.

"Terlalu awal bagi kerajaan untuk memberi maklum balas berhubung projek ini.

"Pada masa kini, kerajaan sedang menjalankan kajian terperinci dan rundingan dengan syarikat konsesi berkenaan," kata Abdul Wahid di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bagaimanapun, jawapan itu berbeza dengan apa yang sedang berlaku apabila MBPJ secara tiba-tiba menerima notis daripada Jabatan Tanah dan Galian tanpa sebarang perbincangan ataupun rundingan dilakukan dengan pihak majlis.

Lebuhraya Kidex sedang dalam perancangan pembinaan di Lembah Klang dan dianggarkan berjarak 13 kilometer akan menghubungkan persimpangan bertingkat Damansara dengan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di utara ke Bandar Kinrara yang terletak di selatan.


Lebuhraya ini berkemungkinan akan dibina secara bertingkat ataupun menerusi bawah tanah. ~the malaysian insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan