KAJANG 27 MAC: Kerajaan Selangor merancang untuk menyediakan bas pengantara (feeder bus) sebagai alternatif menaik taraf sistem pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan trafik di Kajang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, projek khas itu sebagai penyelesaian masalah trafik yang dijangka akan meningkat ekoran pembinaan stesyen Aliran Transit Massa (MRT) di Kajang.
“Antara masalah apabila MRT ini siap nanti, tiada penghubung khas untuk penduduk ke stesyen itu.
“Untuk mengelakkan kesesakan bertambah teruk, terutama pada waktu pagi dan petang, kita buat satu sistem pengangkutan awam iaitu sistem pengangkutan baru (feeder system). Sistem ini ke arah menyelesaikan masalah trafik,” katanya kepada media, hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hassan Nawawi berkata, sistem baru ini akan menghadkan penggunaan kereta untuk mengelakkan kesesakan.
Katanya, sistem ini juga akan lebih menumpukan dari aspek keberkesanan pengangkutan awam itu sendiri selain memudahkan pengguna.
“Orang ramai akan menaiki bas, tidak perlu guna kenderaan sendiri untuk ke stesyen tersebut.
“Bas akan bergerak sentiasa dalam jarak satu hingga dua kilometer. Jadi pengguna tidak perlu bawa kenderaan untuk ke stesyen tersebut.
“Tetapi jika yang bawa kereta daripada jauh, seperti Kuala Lumpur, tempat parkir akan disediakan.
“Kita jangkakan pengguna akan jalan kaki dalam jarak 400 meter untuk ke stesyen tersebut,” kata Hassan menambah pengurusan projek ini bakal mendapat kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Majlis Pengangkutan Awam Selangor.
Kajang yang sering berdepan masalah kesesakan, dijangka akan bertambah sesak apabila projek MRT siap dijangka antara 2016-2018.
Pendekatan bas pengantara dirancang untuk memastikan kesesakan dapat dikurangkan, termasuk memudahkan penduduk mendapat akses perhubungan ke stesyen terdekat.
Ini merupakan inisiatif awal Wan Azizah untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sebagai pelaksanaan ‘Manifesto Kajang’ oleh calon KEADILAN itu sempena Pilihan Raya Kecil DUN tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan