Laporan bahawa 1MDB telah gagal sekali lagi untuk membayar hutang
berjumlah RM2 bilion mengikut jadual pembayaran mengesahkan bahawa
syarikat bermasalah itu berhadapan dengan masalah aliran tunai.
Keadaan ini menyulitkan lagi kedudukan kewangan 1MDB yang memberi
kesan kepada keupayaannya melaksanakan kontrak-kontrak yang telah
dianugerahkan kepadanya. Salah satu kontrak tersebut ialah pembinaan
stesen janakuasa Jimah Timur dengan kapasiti 2,000MW (dua stesen setiap
satu 1000MW) yang telah mengundang kontroversi sebelum ini.

1MDB memerlukan suntikan kewangan dari penyenaraiaan aset-aset
penjana bebasnya untuk mengimbangi hutangnya yang tinggi dan telah
mencecah RM42 bilion setakat 2014.
Oleh itu, kelewatan pelaksanaan stesen janakuasa Jimah Timur dijangka
akan melewatkan proses penyenaraian anak syarikat 1MDB di bursa dan
melemahkan lagi kedudukan kewangannya.
Saya boleh mengesahkan bahawa 1MDB melalui anak syarikatnya Jimah
East Power Sdn Bhd telah memohon secara rasmi kepada Suruhanjaya Tenaga
untuk menangguhkan lagi jadual pembinaan dan pelaksanaan stesen
janakuasa Jimah East yang akan membawa kesan kewangan besar kepada 1MDB
dan rakyat Malaysia.
Saya dibekalkan dengan maklumat yang telah saya sahkan bahawa satu
mesyuarat telah diadakan pada 4 Disember 2014 di antara Suruhanjaya
Tenaga dan 1MDB (yang diwakili Jimah East Power Sdn Bhd) mengenai
kelewatan ini.
Di dalam mesyuarat tersebut, 1MDB telah memohon kepada Suruhanjaya
Tenaga untuk diberi kelonggaran melewatkan lagi projek tersebut selama 6
bulan walaupun itu telah melanggar perjanjian jualbeli tenaga (PPA).
Ini bermakna projek tersebut dijangka hanya boleh disiapkan pada 15 Mei
2019 berbanding tarikh yang ditetapkan perjanjian iaitu 15 November
2018.
Dengan masalah aliran tunai yang dihadapi oleh 1MDB sekarang, saya
ragu-ragu bahawa ia boleh menyiapkan stesen janakuasa Jimah Timur pada
15 Mei 2019.
Semakan dengan laporan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC)
bertarikh 10 Oktober 2014 (Pre-Sale Report: RM8.4 bilion Sukuk Murabahah
Jimah East Power) khususnya mukasurat 5 mengenai tapak projek
menjelaskan bahawa projek ini akan dibina di atas tanah paya dan kawasan
berair yang perlu ditebus guna terlebih dahulu. Saya sertakan gambar
yang menunjukkan bahawa tapak projek stesen janakuasa Jimah Timur pada
masa ini adalah kawasan paya dan berair yang perlu ditebus guna terlebih
dahulu.
Dalam keadaan 1MDB belum lagi mempunyai tapak projek yang ditebus
guna dan masalah aliran tunai yang dihadapinya, ada kemungkinan projek
Jimah Timur ini akan terus mengalami kelewatan. Ini akan melewatkan lagi
proses penyenaraian aset-aset tenaga 1MDB yang sebelum ini disebut
sebagai strategi penting meenyelamatkan 1MDB dari masalah kewangan yang
kian meruncing.
Permohonan melewatkan projek Jimah Timur ini mengesahkan bukan sahaja
1MDB berhadapan dengan masalah aliran tunai, malah menunjukkan strategi
yang diambilnya melalui penyenaraian juga masih gagal. Dalam keadaan
ini, 1MDB akan terus berhutang untuk membayar bunga dan faedah
(interest) di atas hutang-hutang sedia ada.
Rafizi Ramli
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
Sumber : Disisni
Tiada ulasan:
Catat Ulasan