SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Rabu, 21 September 2011

Kami ambil tindakan undang-undang, Maybank beri NUBE amaran


KUALA LUMPUR, 20 Sept – Malayan Banking Berhad, yang terlibat dalam pertikaian perhubungan industri dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perbankan (NUBE) sejak 2009 mahu mengambil tindakan undang-undang jika kesatuan itu meneruskan serangan dengan membuat dakwaan tidak berasas.
“Sejak beberapa bulan lalu, NUBE telah melancarkan siri tindakan ke atas bank dan juga pekerja-pekerja, yang bank fikir tidak wajar dan akan mengambil tindakan perundangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar dalam satu kenyataan hari ini.
“Maybank akan terus bertindak menyokong pekerja kami dan hak mereka dan pilihan mereka untuk diwakili seiring dengan peruntukan perundangan yang relevan dan tidak akan membenarkan sebarang tindakan tidak wajar oleh mana-mana pihak,” kata beliau lagi.
Di sebalik pertikaian itu pada 3 September lalu, NUBE berkata pihaknya meragui kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan mendakwa Perdana Menteri gagal menyelesaikan isu-isu pekerja industri perbankan, khususnya menyentuh Maybank yang dibawa kepada perhatian beliau sejak setahun lalu.
Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata, kemerosotan populariti kerajaan Malaysia disebabkan banyak faktor, antaranya termasuk bertambah luasnya jurang pendapatan antara miskin dan kaya selain penindasan ke atas pekerja dan juga kenaikan kadar inflasi.
Tegas NUBE, setahun sudah berlalu pihaknya merayu kepada Najib selaku Menteri Kewangan mengenai masalah yang dihadapi dengan pengurusan Maybank.
Sejak dua tahun lalu, NUBE berhadapan dengan dua isu penting iaitu mendesak agar 7,000 anggotanya yang berjawatan rendah di Maybank diberi bayaran bonus tertunggak 80 bulan.
Ia menuntut bonus sebanyak 80 bulan untuk anggotanya berdasarkan rasional bahawa pengurus kanan dan pegawai kontrak bank itu mendapat bonus lapan bulan setiap tahun sejak 10 tahun lepas, yang tidak diberikan kepada anggota NUBE.
NUBE membuat permintaan itu berasaskan tindakan Maybank membayar bonus lapan bulan setiap tahun bagi semua eksekutifnya sejak 10 tahun lalu.
Selain itu, NUBE juga berhadapan dengan masalah ekoran keputusan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja meluluskan pembentukan kesatuan dalaman pekerja bukan eksekutif Maybank kerana ia bercanggah dengan Seksyen 12 Akta Kesatuan Sekerja 1959.
NUBE yang berusia lebih 50 tahun mewakili 5,000 pekerja Maybank. Ia juga anggota Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), yang akan mengadakan satu sidang media esok mengenai isu ini.
Tiga hari selepas kenyataan itu, NUBE telah mengadakan piket di pekarangan Menara Maybank di sini sempena majlis pelancaran logo barunya oleh Najib.
Mengulas lanjut perkembangan semasa,  Wahid yang juga Presiden Maybank berkata, dakwaan bahawa pengurusannya tidak menunaikan janji bonus kontraktual adalah tidak berasas.
Kata beliau,  pihaknya tidak melanggar sebarang peruntukan perjanjian bersama membabitkan pekerja bank terbesar itu.
Sebaliknya kata beliau, pihaknya telah menyediakan ganjaran kewangan kepada para pekerja selain menyediakan bantuan kewangan dan kursus-kursus peningkatan kerjaya mereka.
Bercanggah dengan dakwaan NUBE, kata Wahid, Maybank mahu menekankan bahawa pihaknya sentiasa menghormati hak pekerjanya memilih kesatuan yang mereka mahu diwakili, sama ada kesatuan dalaman ataupun kesatuan kebangsaan.
NUBE, katanya, merupakan kesatuan kebangsaan yang mewakili pekerja-pekerja perkeranian dan bukan perkeranian di kebanyakan kesatuan tetapi bukan di semua bank.
Kini ada tiga kesatuan dalaman dan empat kesatuan industri mewakili tiga kumpulan pekerja iaitu Persatuan Pegawai-pegawai Kelas 1 Maybank,  Persatuan Eksekutif Maybank, NUBE, Kesatuan Pekerja-pekerja Perbankan Sabah, Kesatuan Pekerja-pekerja Perbankan Sarawak, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Komersial dan Kumpulan Pengawal-Pengawal Keselamatan Malayan Banking.
Kata Wahid, kini seramai 4,605 atau 61 peratus pekerja Maybank dalam kategori perkeranian dan bukan perkeranian merupakan ahli NUBE.
“Bagaimanapun beberapa pekerja telah memutuskan untuk menubuhkan kesatuan dalaman yang dipanggil sebagai Kesatuan Bukan Eksekutif Maybank (Mayneu).
“Meskipun Mayneu telah didaftarkan sebagai kesatuan sekerja pada 3 Januari 2011, NUBE telah mencabar pendaftarannya dan perkara itu masih didengar oleh mahkamah,” katanya lagi.
Wahid berkata gaji, manfaat dan bonus bagi ahli-ahli NUBE ditetapkan menerusi perjanjian bersama.
Katanya, bonus dua bulan kepada ahli-ahli NUBE dipersetujui di bawah perjanjian bersama.

1 ulasan: