SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Isnin, 3 Disember 2012

Antara Puji, Ampu Dan Janji


2 DIS — Saya tertarik dengan ulasan pembahas Rosiah Ismail dalam posting “Gurindam Seloka Cemburu Buta” yang, antara lain berbunyi:
“…ada yang berpantun seloka baru seminit sedih mengalir air mata sekilat rasa sudah berubah ketawa besar... ini la ragam PWTC dato… tak ada pembahas yang boleh membahaskan secara serius berkenaan ekonomi orang melayu... yang kelihatan jelas dan terang ialah memuji A memuji B terangkat ponggong... aku tidak cemburu sekadar menulis apa yang nampak... aku nampak pinggang kerengga aku nampak peha putih…wooooo tak tahu nak cerita agak2 tahun depan ada lagi ke...Terima kasih dato... saya hanya pekerja kilang@kuli batak...”
Sebelum itu, saya mohon maaf kerana lama tidak membuat tampalan baru dan lambat menyiarkan komen pembahas. Sebagai separa pesara yang tidak lagi relevan dalam kerangka utama kehidupan di Tanah Melayu, saya menjadikan hujung tahun sebagai waktu melawat anak cucu yang menatap atau belajar di luar negara. Istilah separa perasa itu bermaksud sudah mencapai atau melebihi umur bersara tetapi terpaksa terus bekerja kerana tidak ada pencen.
Dengan izin, saya ingin secara ringkas mengulas komen pembahas Rosiah Ismail seperti berikut:
1. “baru seminit sedih mengalir air mata sekilat rasa sudah berubah ketawa besar...ini la ragam PWTC dato.” Kata pun persidangan. Tak kiralah persidangan parti atau badan mana, pasti bukan semua pembahas dan perwakilan serius, dan bukan semua hujah yang dibentangkan betul dan tepat. Lagipun, pembahas utama dilantik oleh ibu pejabat dan perhubungan negeri, dan isi kandungan ucapan mereka dipandu oleh parti.
2. “tak ada pembahas yang boleh membahaskan secara serius berkenaan ekonomi orang melayu.” Sebabnya ramai yang tak tahu. Manakala sedikit yang tahu tidak mahu mengaku. Yang berani berterus terang mungkin tidak ada can dipilih calon PRU.
3. Ekonomi Melayu hari ini jauh lebih baik daripada sebelum merdeka atau sebelum Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sudah lama berubah daripada ekonomi agraria cukup makan (subsistence farming) kepada ekonomi mata wang (monetary economy). Sebilangan orang Melayu berjaya memasuki kelas menengah (middle class) dan segelintir kelas atas (upper class).
Tetapi, kalau dibandingkan dengan orang Cina dan India secara keseluruhan, Melayu (dan Bumiputera lain) tertinggal jauh di belakang.
Malah, sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98, jurang pendapatan antara Melayu kaya dengan Melayu miskin dan antara orang Melayu dengan Cina dan India, yang diukur menggunakan pekali gini (gini coefficient), semakin melebar. Hari ini, jurang antara orang kaya dengan miskin di Malaysia hampir sama buruk dengan negara-negara Afrika dan Amerika Latin.
Kalau globalisasi, level playing field (padang permainan yang sama rata) dan meritokrasi diamalkan secara literal, ekonomi orang Melayu akan menjadi lebih buruk kerana ketidakmampuan mereka bersaing akibat kekurangan modal, kelemahan penguasaan bahasa perdagangan dan pilih kasih kaum dalam pasaran buruh swasta.
Tetapi yang paling mengancam ialah sikap orang Melayu yang tidak positif dan kurang keyakinan diri. Saya harap, rujukan pembahas Rosiah kepada “saya hanya pekerja kilang@kuli batak” bukan mencerminkan sikap rendah diri dan kurang keyakinan beliau.
Kita akan jadi kuli kalau mentaliti kita mentaliti kuli. Kita masuk kerja sebagai buruh dan pencen sebagai buruh kalau sikap kita negatif, malas berusaha, tidak bangga dengan pekerjaan dan tidak belajar untuk menjadi pekerja yang profesional dan cekap. Melayu akan jadi kuli dan hamba walaupun dia doktor atau jurutera kalau mentalitinya mentaliti kuli dan hamba.
4. “yang kelihatan jelas dan terang ialah memuji A memuji B terangkat ponggong.” Puji memuji adalah sebahagian daripada politik dan kelangsungan, lebih-lebih lagilah dalam politik untuk hidup, untuk selamat dan untuk senang-lenang. Puji memuji, mengangkat mengampu adalah budaya negatif dalam politik negara kita, khasnya politik Melayu. Pendirian saya, kita tidak perlu memuji pemimpin apabila mereka membuat kebaikan atau bekerja dengan betul kerana kita memang mengundi mereka untuk membuat kebaikan dan bekerja dengan betul. tetapi kita wajib beri tahu dan kritik kalau mereka buat kesilapan kerana kita tidak mengundi mereka untuk buat kesilapan dan keburukan.
5. “wooooo tak tahu nak cerita agak2 tahun depan ada lagi ke?” Selagi kita mengamalkan demokrasi pilihan raya (electoral democracy), selagi itulah retorik akan menjadi sajian. Terpulanglah kepada kita memakan atau menolak gula dan madu yang dihidangkan. Tetapi ingatlah pesanan nenek moyang kita “mati semut kerana gula.”
Bekas ahli politik Inggeris, Kenneth Robert Livingstone menulis sebuah buku berjudul “If Voting Changed Anything, They’d Abolish It” (kalau pilihan raya mengubah sesuatu, mereka tentu telah menghapuskannya.) Betul juga, kalau pilihan raya menghasilkan sebuah pemerintahan yang unggul (perfect), mengapa perlu kita mengadakan pilihan raya lagi. Malangnya, pilihan raya dan kerajaan adalah ciptaan manusia. Ia tidak lengkap seratus peratus. Wallahualam. — kadirjasin.blogspot.com
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan