KUALA LUMPUR 20 Dis: Penyelewengan dan rasuah punca Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu dengan kos pembinaan RM300 juta yang runtuh pada 2009 sehingga kini tidak dibaik pulih.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, stadium tersebut tidak mungkin dibaik pulih semula selagi Umno BN memerintah negeri itu.
“Stadium tersebut dibina oleh tiga syarikat kroni kerajaan Umno BN. Nilai asalnya berjumlah RM191 juta. Kemudian kosnya dinaikkan kepada RM300 juta kerana kononnya akibat kelewatan ia disiapkan.
“Mengapa setelah lebih tiga tahun tidak ada sebarang kerja baik pulih? Ini kerana mereka telah mendapat durian runtuh hasil keruntuhan stadium tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Azan, beliau berulang kali membangkitkan isu ketirisan dan pembaziran di Parlimen tetapi tiada sebarang jawapan.
“Banyak negara dalam dunia yang menghadapi malapetaka alam yang menyebabkan keruntuhan bangunan. Namun laporan hasil siasatan terus dikemukakan selepas itu untuk menjelaskan puncanya.
“Dalam kes ini, berkali-kali kita minta hasil siasatan, tapi ia tidak pernah diumumkan, walaupun kita tahu hasil siasatan sudah ada dan ia berpunca dari kelemahan struktur yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Ini jelas membuktikan kerajaan sememangnya melindungi aktiviti rasuah, kerana pembaziran adalah keuntungan kepada mereka,” tegas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu lagi.
Azan turut menempelak Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang bisu berhubung isu keruntuhan tersebut.
“Sebagai seorang menteri dalam hal ehwal sukan yang juga anak Terengganu, beliau patut prihatin dalam kes ini bukannya mendiamkan diri.
“Apakah beliau sendiri turut terlibat dalam aktiviti rasuah dan penyelewengan ini? Sebab itu beliau terus diam,” kata Azan.
Stadium yang runtuh pada 2 Jun 2009 itu menyebabkan kira-kira 70 peratus daripada strukturnya musnah.
Stadium yang dianggap ‘tercanggih’ di Pantai Timur dirasmikan oleh Yang DiPertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008, dengan upacara gilang gemilang menandakan ‘impian menjadi kenyataan’ sebagaimana yang dibangga-banggakan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan