SHAH ALAM 5 Feb: Keperluan pendidikan percuma dan isu kualiti pendidikan negara perlu diambil perhatian serius pemerintah, kata Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Demikian antara intipati ucaptamanya pada Konvensyen Antarabangsa Pendidikan (KAP 2013) di Universiti Selangor (Unisel), di sini, pagi ini.
Penekanan itu dipetik menerusi twitter Ahli Biro Politik KEADILAN, Dr Syed Husin Ali yang hadir pada konvensyen itu.
Konvensyen tersebut memfokuskan dasar pendidikan negara 2013-2025.
Ia merupakan inisiatif universiti untuk membincangkan secara akademik isu-isu pendidikan yang dihadapi di negara ini.
Antara isu pendidikan yang menarik perhatian rakyat pada masa ini yang disentuh dalam konvensyen adalah pendidikan percuma, tabung pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kualiti institusi pendidikan negara dan lain-lain.
Konvensyen anjuran Unisel dan kerajaan Selangor ini diadakan dua hari bermula semalam.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang turut hadir hari ini melancarkan KAP 2013 semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff; Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli; Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Exco Pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali.
Petang ini disusuli forum mengupas isu oleh panel di kalangan ahli-ahli akademik, penggubal dasar dan juga pemikir-pemikir politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan