KUALA TERENGGANU: Gabungan Anak Terengganu (Gate) bersedia menjadi penganjur perdebatan pihak kerajaan dan pengkritik, di antara Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Datuk Kamarul Baharin atau di antara Penyelia Dun Ladang, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dengan Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar atau kedua-duanya sekali.
Presidennya, Ahmad Amzad Hashim menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Beliau terpanggil mengulas sama isu nasib penduduk-penduduk asal Kampung Ladang Tok Pelam yang telah diambil tanah mereka atas nama pembangunan dan sebahagian mereka ditempatkan di Flat Ladang Gemilang sebagaimana dipaparkan dalam artikel HarakahDaily beberapa hari lepas dan Sinar Harian Edisi Terengganu 3 Februari.
Katanya, dalam pada sebahagian dari penduduk Terengganu melihat bangunan-bangunan flat tersebut sebagai simbol pembangunan, tidak ramai menyedari kesengsaraan yang dialami oleh penduduk-penduduk yang merasai sendiri pengalaman mendiami unit-unit flat tersebut.
Menurutnya, rata-rata mereka adalah penduduk miskin yang masih berharap pada janji kerajaan yang pada suatu hari rumah yang mereka diami akan diberi pemilikan melalui skim sewa beli.
“Kata mereka kerana itulah mereka sanggup tinggal di flat berkenaan dengan kadar sewa yang lebih tinggi berbanding kadar sewa yang pernah dijanjikan oleh Menteri Besar terdahulu Yang Berhormat Datuk Seri Idris Jusoh,” ujarnya.
Menurutnya, ada yang berkata dengan kadar sewa yang dibayar sekarang sepatutnya mereka boleh menyewa rumah ditempat lain yang tak perlu mengalami kesukaran seperti kemudahan asas yang tidak cukup, lif yang selalu rosak dan ketiadaan kemudahan membuang sampah yang munasabah sehingga terpaksa mengangkut turun sampah.
“Dalam pada itu semata-mata meletakkan beban kesalahan kepada penduduk-penduduk dhaif ini kerana telah bersetuju dengan tawaran kerajaan sebelum ini juga bukanlah satu perkara yang patut berlaku,” katanya.
Beliau menambah, rakyat yang dhaif dan tidak memahami selok belok undang-undang serta nilai komersil tanah mereka sepatutnya dibantu oleh pemimpin yang berjiwa rakyat agar hak mereka dipertahankan atau sekurang-kurangnya mendapat pampasan yang berbaloi dengan nilai komersil masa hadapan tanah warisan mereka.
Hakikatnya, ujar beliau pada masa sekarang sebahagian besar penerima pampasan tanah tersebut telahpun membelanjakan wang pampasan mereka yang apabila dibahagi-bahagikan sesama waris yang berhak tidaklah besar jumlahnya.
Beliau berkata, sekiranya Flat Ladang Gemilang adalah semata-mata flat transit sementara menunggu rumah baru disiapkan, berapakah pula harga rumah baru yang bakal dikenakan kepada penduduk-penduduk ini.
“Dengan habisnya wang pampasan yang telah dibelanjakan, adakah mereka kelak mampu membayar harga rumah baru pula,” ujarnya lagi.
Justeru, ujar beliau jangan dilupa, Ketua Audit Negara dalam laporan audit yang lalu menegur proses pengambilan tanah Kampung Banggol Donas kerana tidak mengikut peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960.
Baginya, sangat menghairankan, di negara seperti Singapura, masih ada perkampungan Melayu di tengah bandar dipertahankan walau pesat dengan pembangunan, malah begitu juga di Kuala Lumpur dan Melaka.
Katanya, pembangunan Terengganu yang tak sepesat manapun, belum apa-apa sudah menjarah tanah rakyat sebangsa konon atas nama pembangunan.
Tambahnya, Gate dalam mengharapkan nasib yang lebih baik kepada penghuni-penghuni Flat Ladang Gemilang memandang berat tentang nasib yang sama bakal melanda penduduk-penduduk kampung tradisi Melayu yang lain seperti Kampung Tanjung, Kampung Losong dan Kampung Chabang Tiga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan