SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Ahad, 24 November 2013

Kemenangan Mat Sabu Kemenangan PKR dan DAP

[TMI] Kejayaan Mohamad Sabu (gambar) mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS digambarkan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia sebagai kemenangan kepada PKR dan DAP, dalam usaha akhbar berbahasa Melayu itu untuk melemahkan sokongan orang-orang Melayu terhadap parti Islam itu.

Kolumnis Awang Selamat dalam tulisannya di edisi Ahad akhbar itu Mingguan Malaysia, secara sinisnya mengucapkan tahniah kepada Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

“Pihak yang paling bersorak dengan kejayaan Mat Sabu sudah tentu DAP dan PKR.

“Ketika keputusan belum diumumkan, seorang pemimpin kanan DAP dengan teruja menerusi laman sosial, mengucapkan syabas kepada beliau,” tulis Awang Selamat yang merupakan nama samaran kepada pasukan pengarang Utusan Malaysia hari ini dalam artikel bertajuk, “Tanda aras PAS” tanpa menamakan pemimpin DAP itu.

Menurut Awang Selamat lagi, ramai pemimpin PAS yang pro DAP seperti Mohamad berjaya menang atau mempertahankan jawatan mereka dalam Muktamar ke-59 itu.

“Selagi Mat Sabu membayangi kepimpinan PAS, selagi itu harapan DAP mekar,” tulisnya lagi.

“Semoga ahli-ahli PAS juga tanpa ragu boleh berbangga dengan keputusan itu.”

Menurut Awang Selamat, walaupun sebahagian perwakilan terkilan kerana imej Mohamad yang dilihat tidak sesuai sebagai pemimpin nombor dua dan pernah terbabit dalam isu moral, harapan mereka untuk melakukan pembetulan tidak menjadi kenyataan.

“Suatu hari kelak beliau bakal menerajui parti itu sebagai presiden pula. Sekali lagi, usah ragu kerana itulah tanda aras dalam PAS,” tulis Awang Selamat membuat spekulasi Mohamad mungkin akan menggantikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang satu hari nanti.

“Dengan Presiden PAS, Hadi Awang yang dilihat suka mengambil jalan selamat menjaga kedudukannya dan Mat Sabu yang dibajai oleh DAP dan PKR, Awang tidak nampak kepimpinan PAS dapat dibersihkan daripada pengaruh sekutu pakatan.”

Menjelang Muktamar PAS ke-59, Umno, badan bukan kerajaan (NGO) pro kerajaan dan akhbar-akhbar arus perdana berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian terus “berkempen” bagi memastikan golongan ulama memenangi jawatan yang mereka tandingi pada pemilihan kali ini.

Akan tetapi ini mengecewakan mereka apabila Mohamad dan 18 orang lagi golongan profesional berjaya mengekalkan jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat yang mereka sandang.

Dalam keputusan pemilihan PAS yang diumumkan oleh Asmuni Awi semalam, Mohamad mendapat 588 undi manakala Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hanya mendapat 490 undi.

Ini menjadikan Mohamad menang dengan majoriti 98 undi. – 24 November, 2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan