SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Rabu, 12 Februari 2014

"Saya Cuba Melawan Bila Payudara Saya Diseterika" Nirmala Bonat...

KUALA LUMPUR - Pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia cuba melawan apabila majikannya, Yim Pek Ha meletakkan seterika panas pada payudaranya, 10 tahun lepas.

Nirmala, 29, berkata demikian ketika disoal peguam Chan Vy Sing, yang mewakili Yim dan suaminya, Hii Ik Tiing dalam perbicaraan hari kedua kes saman yang difailkan terhadap mereka kerana mendera dan mencederakannya dengan seterika dan air panas.

Nirmala berkata dia juga sempat memegang tangan suri rumah itu dan tindakannya menyebabkan kedua-dua belah tangannya turut terkena pada seterika berkenaan, namun dia tidak cuba mengambil seterika itu daripada tangan Yim.

Jawapan ibu kepada dua orang anak lelaki itu dipertikai peguam Chan kerana di prosiding terdahulu di Mahkamah Sesyen di sini, Nirmala menyatakan dia hanya berdiri dan mengikut arahan serta tidak melawan ketika Yim meletakkan seterika pada payudaranya.

Nirmala juga tidak bersetuju apabila Chan menyatakan apa yang diceritakannya pada mahkamah hari ini adalah bercanggah dengan apa yang diceritakan lapan tahun lepas ketika prosiding di Mahkamah Sesyen. 

Wanita itu juga tidak dapat mengingati sama ada dia ada memberitahu pihak polis mengenai kecederaan pada tangannya, selain tidak dapat mengingati sama ada luka itu dimaklumkan kepada dua orang doktor yang pernah menemubualnya.

Chan: "Saya cadangkan kamu menganggap luka pada tangan akibat terkena seterika adalah tidak penting dan disebabkan itu kamu tidak memaklumkan perkara ini dalam laporan polis yang dibuat pada 2004?"

Nirmala: "Saya tidak bersetuju."

Chan: "Saya cadangkan jawapan yang diberikan oleh kamu dalam pernyataan saksi di mahkamah hari ini bahawa kamu cuba menghalang Yim daripada meletakkan seterika panas dengan kedua-dua belah tangan hanyalah rekaan bagi menuntut ganti rugi dalam kes saman kamu?"

Nirmala: "Saya tidak bersetuju."

Wanita Indonesia itu juga tidak bersetuju dengan Chan apabila peguam itu berkata dia (Nirmala) pernah memberitahu majikan bahawa luka pada tangan itu berlaku akibat tidak disengajakan olehnya.

Pada 28 Jan 2010, Nirmala memfailkan saman terhadap Yim, 46, dan Hii, 48, selepas mendakwa didera dan dicederakan beberapa kali oleh Yim, antaranya dengan menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Jan 2004.

Wanita itu, yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan terbabit yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini pada Sept 2003, mendakwa Hii pula telah gagal menghalang isterinya daripada mencederakannya serta gagal memberikannya rawatan perubatan yang sewajarnya. 

Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah. 

Pada 1 Okt 2012, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadap Yim, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala.

Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung esok. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan