SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Isnin, 13 Oktober 2014

Bajet: Orang berpendapatan rendah masuk penjara BN

 KENAIKAN harga minyak dan GST yang bakal melonjakkan inflasi pada tahun 2015 adalah satu gaung bagi rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Gaung ini adalah satu penjara yang dicipta BN bagi golongan ini di mana pemberian BR1M secara ansuran dijadikan satu senjata untuk membudayakan mereka untuk terus bergantung hidup pada kerajaan.

Dengan pengurangan subsidi yang dilakukan dan peningkatan pemberian BR1M dari tahun ke tahun yang menyebabkan kenaikan kadar inflasi jauh melebihi kadar pendapatan, golongan ini akan terus terperangkap di dalam penjara yang dicipta BN.

Apakah ini satu strategi BN untuk kekal berkuasa dengan membudayakan majoriti rakyat Malaysia untuk terus bergantung hidup dengan insentif yang diberikan kerajaan?

Ini tidak mustahil berdasarkan apa yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di perhimpunan agung tahunan MCA semalam di mana beliau mengingatkan masyarakat Cina tidak patut menuntut sesuatu daripada kerajaan jika mereka menyokong pembangkang.

Berdasarkan logik ini, apakah BR1M sebenarnya adalah satu strategi politik yang dijelmakan sebagai bantuan daripada kerajaan untuk mendapatkan undi rakyat bagi BN?

Perbezaan ketara antara jumlah peruntukan RM4.9 bilion one-off termasuk BR1M dan RM1.1 bilion yang boleh dijimatkan melalui kenaikan harga minyak juga membenarkan dakwaan bahawa gaung ini sengaja digali untuk rakyat marhaen.

Kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barangan. Oleh kerana harga barangan melambung, rakyat perlu membayar lebih untuk GST, kerana 6% akan dikenakan pada barang dan perkhidmatan yang sudah dinaikkan harga dan bukan harga sekarang.

Pada akhirnya, segala apa yang diberi kepada rakyat sebenarnya akan dipungut kembali oleh kerajaan. Yang berbeza ialah rakyat telah ditolak ke dalam gaung dan terpaksa bergantung hidup dengan pemberian kerajaan.

Datuk Seri Najib juga perlu ingat bahawa semua yang membayar cukai kepada kerajaan (sama ada secara langsung melalui cukai pendapatan atau tidak langsung seperti cukai eksais kereta) berhak membuat tuntutan kepada kerajaan.

Sebagai pembayar cukai, rakyat berhak memilih siapa sahaja untuk menguruskan negara pada setiap pilihan raya. Dan sebagai sebuah kerajaan yang dipilih, ia bertanggungjawab menjaga kebajikan setiap rakyatnya tanpa mengira pendirian politik mereka.

Itulah asas kepada sistem demokratik yang adil dan saksama dan berfungsi.

Naib Presiden PAS
13 Oktober 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan