SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Isnin, 13 Oktober 2014

Menghapuskan ketirisan, mengamalkan ketelusan


DALAM pembentangan Bajet 2015 pada hari Jumaat yang lalu, YAB Perdana Menteri dengan megah mangatakan bahawa Malaysia ini terbina atas usaha Barisan Nasional dan walaupun mengalami pelbagai krisis dan dugaan mutahir ini, Malaysia melangkah gagah dengan banyak catatan pencapaian di peringkat global, antaranya:
Memperbaiki kedudukan dalam Laporan World Competitiveness Index 2014, menduduki tangga ke-12 daripada tangga ke-15 pada tahun sebelumnya. Kedudukan tersebut menunjukkan kita lebih kompetitif berbanding United Kingdom, Australia dan Finland;
Menduduki tangga ke-3 terbaik daripada 22 buah negara bagi penilaian Best Emerging Markets yang dikeluarkan oleh Blomberg;
Menduduki tangga ke-6 daripada 189 buah negara, dalam Laporan Ease of Doing Business oleh Bank Dunia, di mana kita menduduki tangga pertama dalam aspek mendapatkan kemudahan pembiayaan.

Apa yang menarik ialah, nampaknya YAB Perdana Menteri hanya berani menyatakan laporan-laporan atau indeks-indeks antarabangsa yang menunjukkan betapa Malaysia adalah sebuah negara yang “business-friendly” tetapi langsung mengenepikan dan mendiamkan diri dalam laporan-laporan dan indeks-indeks yang menunjukkan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa dalam isu-isu integriti, kebebasan media, ketelusan, perang terhadap rasuah dan akauntabiliti.

Masalah kita pada hari ini bukannya Malaysia ini tidak “business-friendly” tetapi masalahnya ialah Malaysia dilihat sebagai “corruption-friendly”. Kalau YAB Perdana Menteri menggunakan 3 indeks untuk menunjukkan betapa hebatnya Malaysia di bawah pentadbiran BarisanNasional, saya juga ingin menggunakan 3 contoh indeks antarabangsa untuk membuktikan betapa teruknya pemerintahan Barisan Nasional, antaranya:

Dalam Indeks Perspesi Rasuah atau Corruption Perception Index yang dijalankan Transparency International, Malaysia menduduki tangga ke-53 daripada 177 buah negara. Kedudukan ini lebih teruk dari zaman Tun Dr Mahathir di mana pada tahun terakhir pentadbiran Tun Mahathir iaitu tahun 2003, Malaysia masih berada di kedudukan ke-37. Bukan itu sahaja, malah persepsi rasuah di Malaysia pada hari ini lebih teruk daripada negara-negara seperti Rwanda, Estonia dan Botswana yang mempunyai ranking yang lebih baik daripada Malaysia.
Dalam Laporan Global Financial Integrity, Malaysia menduduki tempat ke-4 dari segi jumlah kumulatif pengaliran keluar dana secara haram atau (illicit financial outflows) yang berjumlah USD370.38 billion di antara tahun 2002-2011.Ini bermakna aliran keluar wang haram dari Malaysia lebih hebat daripada negara-negara seperti Filipina, Nigeria dan Venezuela.
Dalam Laporan World Press Freedom Index 2014 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders, Malaysia mendapat tempat ke-147 daripada 180 negara yang diselidik dari segi tahap kebebasan media mereka. Ini bermakna tahap kebebasan media di Malaysia lebih teruk daripada negara-negara seperti Myanmar, Ehthiopia, Burundi, Cameroon dan Mozambique.

Hasil Kerajaan

Masalah terbesar dalam Bajet Kerajaan Persekutuan bukannya kita kekurangan hasil tetapi pertambahan hasil yang sebesar mana pun tidak akan dapat menampung perbelanjaan yang tidak terkawal sekiranya tidak ada usaha untuk menutup lubang kebocoran kewangan negara akibat daripada ketirisan, pembaziran dan rasuah yang berleluasa dalam perbelanjaan sektor awam.

Hakikatnya, jumlah hasil yang dipungut oleh Kerajaan Persekutuan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun walaupun sebelum GST dilaksanakan. Pada tahun 2000 semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir, jumlah hasil negara hanya RM61.8 billion. Pada tahun 2008, semasa era Tun Abdullah Badawi, hasil negara meningkat ke tahap RM159.8 billion. Pada tahun 2013, dalam era YAB Pekan, jumlah hasil negara mencecah RM213.3 billion! Tahun 2015, anggaran hasil Negara mencecah RM235.2 billion.

Kalau dilihat dalam tempoh 15 tahun ini, hasil negara telah meningkat lebih 3 kali ganda walauipun tanpa pelaksanaan GST. Tetapi dalam tempoh tersebut juga, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan tidak pernah berimbang dan sentiasa mengalami defisit.

Hutang Negara

Perbelanjaan kerajaan yang tidak terkawal ini yang disebabkan oleh ketirisan, pembaziran dan rasuah menyebabkan hutang negara memuncak sehingga 54.7% KDNK atau RM540 billion pada tahun 2013 tanpa mengambil kira hutang yang dipinjam secara tidak langsung oleh Kerajaan atau “contingent liability” dan pinjaman-pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan seperti hutang IMBD dan sebagainya.

Disebabkan pengurusan kewangan yang tidak berhemah selama ini dan perbelanjaan kerajaan yang tidak terkawal, setiap tahun kerajaan terpaksa meminjam untuk menampung defisit bajet Negara.Perbelanjaan untuk menampung hutang negara pula, terutamanya kos membayar faedah pinjaman dan lain-lain semakin meningkat.

Daripada RM10.92 billion pada tahun 2004, perbelanjaan kerana hutang negara telah mencecah RM24.4 billion pada tahun 2015. Bayangkan, kalau RM24 billion ini disalurkan untuk tujuan pembangunan, sudah tentu ramai rakyat di bawah yang menerima tempiasnya.

Ketirisan dalam Perbelanjaan

Sekiranya tidak ada usaha bersungguh-sungguh dan serius untuk menghapuskan ketirisan dan pembaziran daripada perbelanjaan kerajaan terutamanya untuk pembelian perkhidmatan dan perbekalan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara saban tahun, pengenalan GST dan pertambahan hasil daripada GST tidak akan sesekali menyelesaikan masalah defisit yang dihadapi oleh Kerajaan Persekutuan.

Pokoknya, kerajaan perlu mengamalkan dasar ketelusan, kebertanggungjawaban dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan negara dalam semua bentuk perbelanjaan yang melibatkan wang awam. Namun, janji-janji manis ini yang termaktub dalam GTP dan ETP tidak diterjemahkan dalam pelaksanaan dasar kerajaan.

Apakah kerajaan mengamalkan ketelusan dengan menggunakan pendekatan tender terbuka dalam semua pelaksanaan projek-projek mega kerajaan? Dalam pembentangan Jumaat lepas, YAB Perdana Menteri mengumumkan 7 projek pembinaan mega yang merangkumi 4 lebuh raya baru, projek MRT jajaran kedua, projek LRT fasa 3 dan menaik taraf landasan keretapi Pantai Timur. Nilai 7 projek ini sahaja mencecah RM48.25 billion.

Saya ingin bertanya kepada YAB, adakah projek-projek ini dianugerahkan melalui proses tender terbuka ataupun proses rundingan terus? Istilah “direct-nego” memang sinonim dengan Barisan Nasional. Mengapakah projek-projek yang memakan belanja yang begitu besar ini tidak ditender supaya memaksimakan nilai setiap ringgit yang dibelanjakan dan mengurangkan kos projek tersebut. Saya meminta pihak kerajaan menjawab satu persatu syarikat mana yang mendapat setiap projek yang diumumkan tersebut, butiran kosnya dan justifikasi mengapa syarikat tersebut dipilih?

Jabatan Perdana Menteri

Bukan sahaja tidak ada ketelusan dalam penganugerahan dalam projek-projek mega, malah banyak perbelanjaan dalam Jabatan Perdana Menteri yang bersifat “mengikut budi bicara” Perdana Menteri ataupun “discretionary spending” yang tidak ada unsur “check and balance” dan mudah disalahgunakan.

Saya mengambil beberapa contoh perbelanjaan dalam Jabatan Perdana Menteri yang tidak telus yang perlu dipersoalkan dalam Dewan yang mulia ini:

- Projek khas yang diperuntukkan RM1.61 billion
- Program pembangunan yang diperuntukkan RM1.1 billion
- Penyusunan semula masyarakat yang diperuntukan RM750 juta
- Projek Mesra Rakyat yang diperuntukkan RM670 juta
- Projek-projek kecil yang diperuntukkan RM300 juta

5 contoh ini sahaja memberikan satu “blank cheque” kepada Perdana Menteri yang bernilai RM4.43 billion. Apakah projek khas yang dimaksudkan, apakah program pembangunan yang disasarkan, bagaimanakah penyusunan semula masyarakat dijalankan, apakah projek yang memesrakan rakyat dan apakah projek-projek kecil yang akan dilaksanakan? Semua persoalan-persoalan ini dan butir-butir perancangan projek ini tidak dapat dipantau oleh Ahli-ahli Parlimen kerana kekurangan “political will” Barisan Nasional untuk mengamalkan ketelusan.

Bukankah pendekatan yang tidak telus seumpama ini yang akan mewujudkan ruang ketirisan, kebocoran dan rasuah? Mengapakah semua “kuasa perbelanjaan” atau “spending power” ini terletak dalam tangan Perdana Menteri? Saya menggesa supaya tujuan-tujuan perbelanjaan ini perlu dinyatakan secara telus dan perlu ada mekanisme untuk memantau semua perbelanjaan kerajaan dengan efektif.

Di Amerika Syarikat pun, Presiden Obama mewujudkan sebuah Suruhanjaya yang bernama National Commission on Fiscal Responsibility and Reform yang terdiri daripada Ahli-ahli Kongres secara bi-partisan untuk merangka strategi fiskal dan dasar baru untuk mengurangkan defisit bajet Kerajaan Amerika Syarikat dan hutang negaranya.

Select Committee untuk setiap Kementerian

Justeru itu, saya mengulangi pendirian kami bahawa sepatutnya Parlimen menubuhkan Jawatankuasa Terpilih secara tetap (Select Committee) untuk setiap kementerian supaya Ahli-ahli Parlimen dapat memainkan peranan “check and balance” yang lebih efektif untuk menghapuskan ketirisan dan rasuah dalam setiap Kementerian. Langkah ini sudah pasti mendapat sokongan padu daripada Pakatan Rakyat sekiranya YAB Perdana Menteri mempunyai “political will” untuk melaksanakannya.

Namun, apa yang berlaku sekarang dalam Parlimen adalah sebaliknya. Bukan sahaja Parlimen Malaysia tidak ada mekanisme “select committee” untuk memantau setiap kementerian, malah soalan-soalan Ahli-ahli Parlimen tidak dijawab secara serius.

Pada minggu lepas, saya telah mengemukakan beberapa soalan lisan kepada Jabatan Perdana Menteri mengenai butiran penerbangan dan kos yang terlibat dalam beberapa penerbangan yang melibatkan Perdana Menteri dan isterinya yang menggunakan pesawat khas milik kerajaan. Soalan-soalan ini ditanya kerana penerbangan-penerbangan ini melibatkan lawatan bukan rasmi seperti percutian Perdana Menteri di Eropoh pada awal bulan Ogos dan penerbangan isteri Perdana Menteri ke Padang, Indonesia untuk menerima anugerah darjah kebesaran.

Persoalan yang timbul ialah kewajaran dan kelayakan Perdana Menteri dan isterinya menggunakan pesawat kerajaan untuk lawatan peribadi. Dan lebih teruk lagi, kos yang terlibat dirahsiakan oleh YB Arau. Apakah peranan YB Arau dalam Parlimen ialah untuk melindungi Perdana Menteri dan isterinya daripada dipersoalkan?

Semasa kerajaan meminta rakyat supaya memahami perlunya tindakan kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi dan menaikkan harga minyak, Putrajaya membelanjakan RM180 juta setahun untuk kos minyak dan penyelenggaraan beberapa pesawat khas untuk kegunaan Perdana Menteri dan beberapa VVIP kerajaan. Ini tidak termasuk lagi kos sewaan untuk pesawat-pesawat ini yang memakan berpuluh juta setiap tahun.

Bagaimana pemimpin negara boleh memahami masalah kesempitan hidup yang dialami oleh rakyat jelata akibat daripada kenaikan harga minyak dan  cukai GST sekiranya mereka hidup secara begitu mewah dengan khazanah kekayaan negara sehingga bil elektrik di Seri Perdana pun mencecah RM2.5 juta setahun yang dibayar oleh pembayar cukai.

Kos Sara Hidup Rakyat

YAB Perdana Menteri mengatakan bahawa Kerajaan begitu prihatin dan memastikan pelaksanaan GST tidak membebankan rakyat. Maka penjualan runcit minyak RON95, diesel dan LPG diberikan pelepasan GST yang bernilai 6%. Cakap-cakap ini cukup indah tetapi rakyat Malaysia pada hari ini tidaklah mudah diperdaya dengan dakyah dan propaganda kerajaan kerana mereka sedar pada hakikatnya harga runcit RON95 telah pun dinaikkan sebanyak 10% seminggu sebelum pembentangan Bajet 2015. Ini taktik baru Barisan Nasional untuk memperdayakan rakyat. Percayalah….tak ada sesiapa yang percaya dengan dakyah kononnya kerajaan BN ni prihatin dengan rakyat.

YAB Pekan juga menyatakan 532 jenis barangan dalam basket of goods akan mengalami penurunan harga sehingga 4%. Peniaga-peniaga di Seremban mengatakan ini “angan-angan kosong” Jangan harap ia akan berlaku.

Hakikatnya, pengenaan cukai GST pada kadar 6% ditambah pula dengan kenaikan harga minyak merupakan faktor berkembar yang akan menyumbang kepada kadar inflasi yang tinggi. Kesimpulan ini tidak perlu dinyatakan oleh pakar ekonomi, peniaga warung kopi pun tahu jawapannya.

Kita tak perlu pergi ke jauh. Kafeteria untuk Ahli Parlimen di sebelah Dewan ini pun telah menaikkan harga sejak bermulanya sidang pada minggu lepas. Dulu, harga teh tarik, nescafe dan milo semuanya RM2 secawan. Sekarang, cawan yang sama besarnya telah dinaikkan harga sehingga RM3 secawan. Kenaikan harga 50%. Mengapakah YB Kuala Pilah tidak mengambil tindakan terhadap operator tersebut iaitu PWTC Catering? Siapa yang memiliki syarikat tersebut?

Tuntutan rakyat

Kos sara hidup rakyat Malaysia pada hari ini memang tinggi dan rata-rata kebanyakan pekerja yang berpendapatan sederhana dan rendah menuntut supaya kerajaan memainkan peranan dengan memastikan harga minyak tidak dinaikkan pada ketika harga minyak di pasaran global turun.

Janganlah pula Perdana Menteri memberitahu kepada rakyat “kalau nak buat tuntutan kepada kerajaan, janganlah sokong Pakatan Rakyat”.

Saya cukup kecewa dengan ucapan YAB Perdana Menteri di Perhimpunan Agung MCA pada pagi semalam di mana beliau berkata masyarakat Cina tidak boleh terus membuat tuntutan terhadap Barisan Nasional sekiranya mereka masih menyokong Pakatan Rakyat. Kenyataan tersebut sangat tidak bertanggungjawab dan tidak seharusnya keluar dari mulut pemimpin tertinggi negara.

Apakah Perdana Menteri tidak faham konsep utama dalam demokrasi ialah membenarkan rakyat untuk membuat pilihan mereka dalam pilihanraya? Hak dan kebebasan untuk memilih parti mana dan calon mana untuk mewakili mereka adalah sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan dalam demokrasi.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab parti yang membentuk kerajaan selepas pilihanraya untuk mentadbir negara dan berkhidmat untuk semua rakyat tanpa membalas dendam terhadap pengundi yang tidak menyokong mereka.

Sekiranya beliau tidak faham perkara yang begitu asas ini dalam demokrasi, janganlah memalukan diri sendiri dengan mengatakan beliau ingin menjadikan  “Malaysia the best democracy in the world”!

Tambahan pula, saya ingin mengingatkan YAB Perdana Menteri bahawa yang tidak menyokong Barisan Nasional bukan sahaja di kalangan masyarakat Cina tetapi dalam Pilihanraya Umum ke-13, 52% pengundi Malaysia telah menolak Barisan Nasional. Sudah tentu jumlah pengundi  masyarakat Cina tidak mencecah 52% dan jumlah ini melambangkan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama yang bersatu menolak pentadbiran Barisan Nasional!

Saya nak tanya YAB Perdana Menteri apakah 52% rakyat Malaysia yang tidak menyokong Barisan Nasional ini juga tidak boleh membuat tuntutan daripada kerajaan? Kalau rakyat tidak boleh membuat tuntutan daripada kerajaan, apakah 52% rakyat ini dikecualikan daripada membayar sebarang cukai termasuk cukai GST?

Masyarakat Cina sama seperti dengan semua rakyat Malaysia bukannya meminta sedekah daripada kerajaan. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakan dasar yang adil kepada semua seperti memberikan peruntukan yang sama rata kepada semua aliran sekolah. Peruntukan RM50 juta untuk dibahagikan kepada lebih 1,200 SJKC yang puratanya tak sampai RM40,000 untuk sebuah sekolah seolah-olah “melepaskan batuk di tangga”.

Namun, yang lebih memalukan ialah parti komponen BN yang mengatakan dirinya mewakili masyarakat Cina iaitu Presiden MCA sendiri mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri.

Orang putih kata, “It’s peanuts” ….”SHAME ON YOU,  MCA!”

Pelancongan

Industri pelancongan memang memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pembangunan negara. Industri tersebut bukan sahaja dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sector perkhidmatan malah ia merupakan satu penjana peluang pekerjaan yang cukup besar di kalangan rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan syabas kepada YB Menteri Pelancongan dan Kebudayaan kerana kementeriannya diperuntukkan RM316 juta untuk melaksanakan pelbagai program bersempena dengan “Malaysia – Year of Festivals 2015”. Kami memang mengakui bahawa Menteri Pelancongan sekarang lebih mesra dan adil kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat khasnya Pulau Pinang memandangkan Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang cukup penting dan strategik dalam pembangunan industri pelancongan negara.

Sikap yang adil, professional dan mesra merupakan ciri-ciri yang sangat penting untuk kita bersama-sama membawa industri pelancongan negara ke persada yang lebih tinggi. Marilah kita sama-sama “Think Tourism”.

Justeru itu, sukacita saya mencadangkan kepada YB Menteri supaya memperuntukkan RM22 juta daripada RM316 juta tersebut untuk mengadakan festival di setiap daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh Malaysia. Saya mencadangkan setiap kawasan Parlimen diperuntukkan RM100 ribu dan Ahli Parlimen masing-masing dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan Festival bersama masyarakat tempatan pada tahun 2015 untuk merakyatkan “Year of Festival”.

Setiap kawasan Parlimen ada keunikannya dari segi budaya dan warisan sejarahnya. Saya yakin keunikan dan penyertaan masyarakat di peringkat akar umbi dalam penganjuran sesuatu festival ini akan memberikan pengalaman yang berbeza dan menjadi tarikan kepada pelancong. Ia juga dapat menghidupkan semula pekan-pekan kecil di seluruh negara dan memberi impak ekonomi kepada masyarakat setempat. Jangan kita mewujudkan persepsi kepada pelancong asing bahawa Malaysia hanyalah berkenaan dengan Kuala Lumpur. Kita perlu menunjukkan kekayaan dalam kepelbagaian kita seiring dengan tagline “Malaysia truly Asia”.

Rakan saya YB Kluang telah menganjurkan Festival Kluang baru-baru ini dengan mempromosikan keindahan semula jadi di Gunung Lambak dan menghidupkan semula warisan-warisan lama di Bandar Kluang dengan melibatkan penyertaan komuniti setempat. Dengan adanya dana peruntukan, saya yakin Seremban boleh menganjurkan Festival Seremban dengan mempromosikan “siew pao halal”, Kuching boleh buat Festival Kuching dan lain-lain.

Untuk memajukan lagi sektor pelancongan negara, kerajaan perlu memberikan fokus untuk membangunkan sektor cruise tourism yang merupakan salah satu sektor yang telah dikenalpasti dalam Economic Transformation Program sebagai salah satu Entry Point Project (EPP). Walaupun Malaysia Cruise Council telah ditubuhkan untuk mengariskan dasar pembangunan sektor tersebut, namun masih belum ada tindakan yang holistik dan bersepadu di antara stakeholders terutamanya di antara Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Pengangkutan dan kerajaan-kerajaan negeri yang terbabit.

Saya difahamkan bahawa Syarikat Perkapalan Royal Caribbean telah pun melabur untuk membina sebuah cruise terminal yang baru di Melaka dalam projek Melaka Gateway.

Namun, kerajaan persekutuan belum lagi memutuskan pelan pembangunan untuk Swettenham Pier yang mempunyai potensi untuk menjadi sebuah cruise terminal yang dapat menarik kemasukan ramai pelancong asing. Saya ingin bertanya kepada Kementerian Pengangkutan sama ada Penang Port Commission telah menyerahkan operasi Swettenham Pier kepada Seaport Terminal?

Saya mendapat maklumat bahawa sebuah konsortium antarabangsa mempunyai minat untuk melabur dalam pembangunan semula Swettenham Pier tetapi terdapat banyak halangan daripada pihak-pihak yang berkepentingan.

Memandangkan Swettenham Pier merupakan sebuah terminal yang strategik untuk pembangunan cruise tourism di Malaysia, saya menyeru Kerajaan supaya memangil tender untuk projek tersebut  dalam kadar yang segera dan menganugerahkan projek tersebut kepada syarikat yang mempunyai pengalaman dan perancangan yang paling baik untuk memaksimakan pulangan kepada industri pelancongan negara.

Rencana di atas adalah ucapan Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook dalam perbahasan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada Isnin, 13 Oktober 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan