KUALA LUMPUR 3 OKT: Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bimbang
kenaikan harga minya disusuli peningkatan harga barangan keperluan lain
yang akan menyebabkan rakyat semakin terbeban.
Naib Presidennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, selain harga minyak,
rakyat bakal menerima beban kenaikan berganda apabila Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada April tahun hadapan.
Menurutnya,
adalah menghairankan apabila terdapat laporan bahawa harga minyak dunia
berada di tahap rendah dan beberapa negara lain turut mengumumkan
penurunan harga petrol.“Adalah sesuatu yang menghairankan bila mana kenaikan harga minyak
dilakukan dengan alasan untuk merasionalisasi subsidi minyak negara
sekiranya laporan itu benar.“IKRAM juga tidak pasti sejauh manakah keberkesanan kenaikan harga
minyak ini dalam mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan yang
dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti yang
dimaklumkan oleh kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Sehubungan itu, NGO itu menuntut kerajaan memastikan bahawa harga
barangan keperluan tidak terus meningkat susulan kenaikan tersebut.“Ke mana hasil penjimatan itu akan dibelanjakan juga perlu dijelaskan kepada rakyat,” ujarnya.
Pada 2 September 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
berkata kerajaan berjaya menjimatkan RM1.1 bilion sewaktu mengumumkan
kenaikan harga RON95 sebanyak 20 sen seliter.
Bagaimanapun, kerajaan tidak menyatakan penjimatan terkini berikutan
langkah terbaru menaikkan harga RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen, pada
2 Oktober lalu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan