KUALA LUMPUR 2 OKT: Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata,
kenaikan harga minyak membuktikan kezaliman Barisan Nasional yang
disifatkan terus ‘menjerut leher rakyat’ di negara ini.
Katanya, langkah itu juga akan menyebabkan kenaikan harga barang
keperluan berlaku lebih awal sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST) dilaksanakan tahun hadapan.“Kerajaan akan mengenakan GST pada April 2015 yang dijangka akan meningkatkan harga barangan dan kos perkhidmatan.“Tapi jangkaan ini silap kerana peningkatan ini akan berlaku lebih
awal daripada apa yang kita jangkakan selepas pengumuman ini dibuat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan
kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter
berkuatkuasa tengah malam tadi.
Menurut Rafizi, peningkatan harga minyak secara tidak langsung
menambah bebanan hutang isi rumah rakyat sekaligus menyebabkan
kemiskinan semakin bertambah. “Selepas subsidi petrol dikurangkan, harga minyak akan naik, harga
barang dan kos perkhidmatan lain semakin meningkat yang akhirnya bebanan
bulanan setiap isi rumah turut bertambah,” jelas beliau yang juga Ahli
Parlimen Pandan itu. Ditanya tentang dakwaan kerajaan bahawa penyelarasan subsidi itu
selari dengan pemberian BR1M, Rafizi berkata pemberian ‘One Off’ itu
dapat membantu sepenuhnya kos sara hidup bagi jangka masa panjang.
“BR1M dilaksanakan bagi menampung perbelanjaan rakyat untuk jangka
masa singkat. Persoalannya, adakah ini kekal sebagai jaminan jangka
panjang yang dapat membantu meringankan kos hidup rakyat?“Rasionalisasi subsidi kerajaan untuk membantu rakyat negara ini
nampaknya diukur selepas kerajaan gagal mengurus negara yang berterusan
mencatatkan kerugian,” ujarnya.
Jelas Rafizi, pengurangan subsidi kerajaan kini disifatkan sebagai
pengkhianatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap amanah
rakyat yang mahukan jaminan kehidupan yang lebih selesa.
Malah, beliau turut mempersoal tindakan yang dibuat oleh kerajaan
Umno BN berikutan harga pasaran minyak mentah di pasaran dunia kini
dilaporkan menurun. Sebaliknya kerajaan bertindak menaikkan harga minyak secara membabi buta tanpa memikirkan kesan yang terpaksa ditanggung rakyat. “Kita persoal adakah tindakan Najib ini tepat dalam masa harga pasaran harga minyak mentah dunia kini menurun?” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan