SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Sabtu, 14 Februari 2015

Malott perjelas petisyen kepada Rumah Putih

"Keprihatinan yang mendalam" bekas duta Amerika Syarikat, John Malott, terhadap rakyat Malaysia, mendorong beliau untuk memulakan petisyen kontroversi kepada Rumah Putih berhubung penghakiman yang mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Petisyen itu yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai menggalakkan campur tangan asing, telah disusuli pula oleh petisyen balas kepada Rumah Putih untuk menggesa Amerika Syarikat supaya menghormati kedaulatan Malaysia.

"Saya percaya bahawa kata-kata saja tidak mencukupi dan pentadbiran Obama perlu memberi perhatian yang lebih kepada hak asasi manusia dan mesti menyokong kuasa-kuasa demokrasi di seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia.

"Tetapi, yang pastinya, saya amat mengambil berat tentang Malaysia dan rakyat Malaysia. Ditambah pula Anwar dan keluarganya adalah kawan baik," kata Malott dalam emel.

Isterinya menulis biografi tentang isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Malott berkata hubungannya dengan Malaysia dan sokongannya terhadap pendemokrasian  "bukanlah suatu teori atau abstrak".

"Saya melihat orang sebenar dan wajah sebenar, dan bukan hanya Anwar dan Azizah dan keluarga mereka. Selepas 20 tahun, saya mempunyai ramai kawan Malaysia, di semua lapisan masyarakat.

"Saya mahu mereka menikmati kebebasan yang sama yang saya nikmati sebagai seorang rakyat Amerika," kata Malott.

Walaupun dia sedar petisyen itu tidak menjamin kebebasan Anwar, tetapi beliau berharap Presiden Barack Obama "boleh menjelaskan" kepada Malaysia bahawa dunia tidak memandang ringan terhadap penindasan politik.

Dalam diplomasi, katanya, kenyataan mesti dibuat untuk menunjukkan bahawa perkara itu tidak boleh diterima.

"Saya tidak mahu lagi melihat Presiden Amerika Syarikat bermain golf dengan (Perdana Menteri) Najib (Abdul Razak) sekali lagi."

Mallot juga menganggap dakwaan bahawa tindakan itu mengganggu kedaulatan Malaysia sebagai mengarut.

"Ianya mengarut. Saya dan semua orang yang menandatangani petisyen ini adalah rakyat Amerika, bercakap kepada presiden kami. Kami tidak menulis kepada perdana menteri Malaysia."

Pada tengah malam 12 Februari, petisyen itu menerima 31,164 tandatangan, kira-kira satu pertiga daripada matlamat 100,000 tandatangan yang diperlukan untuk mendapatkan maklum balas daripada Rumah Putih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan