SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Ahad, 23 Februari 2014

Kerja pembinaan terowong MRT undang keresahan

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembinaan terowong bawah tanah bagi projek Mass Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT) yang sudah 30 peratus siap mengundang keprihatinan badan bukan kerajaan (NGO), MRT Watch.

Dalam satu kenyataan media, kumpulan tersebut menimbulkan kekhuatiran pengguna pengangkutan awam, pekerja dan penduduk sekitar berhubung cadangan pembinaan terowong yang bakal menghubungkan stesen MRT KL Sentral ke MRT Muzium Negara.

“Populasi yang bakal terjejas dengan projek ini adalah kira- kira 150,000 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang melibatkan pelbagai aktiviti bisnes seperti perhotelan, apartmen, pejabat dan sistem pengangkutan awam yang berpusat di KL Sentral,” kenyataan media itu dipetik.

Cadangan pembinaan terowong itu dikhuatiri akan menjejaskan struktur KL Sentral kerana ia melibatkan pemotongan bim (pier) dan penerobosan firewall di bawah bangunan tersebut.

Menurut MRT Watch, buat masa ini terowong sepanjang 61 meter berjaya dikorek bagi menghubungkan Stesen Pasar Rakyat ke Stesen Cocharane, manakala sepanjang 10 meter dikorek pada kedalaman lebih 30 meter di bawah tanah untuk fasa Stesen Semantan ke Stesen KL Sentral.

Anggota kumpulan NGO itu telah melakukan tinjauan dan mendapati orang ramai yang bekerja dan menggunakan pengangkutan awam di KL Sentral tidak bersetuju jika pihak pemaju ingin meneruskan projek yang dilihat berisiko ini.

Pekerja swasta, Asmat Fikri, 26, berkata, komuter, LRT dan monorel di KL Sentral adalah pengangkutan utama yang digunakan sepanjang masa untuk ke pejabat.

“Saya menetap di Bangi dan bekerja di Bukit Bintang, saya adalah pengguna tetap  pengangkutan awam yang terdapat di sini.

“Saya khuathir akan aspek keselamatan pembinaan terowong bawah tanah ini kerana ia mungkin akan mendatangkan kesukaran kepada pengguna seperti saya. Contohnya, jika berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini atau kecelakaan semasa operasi pembinaan bukankah ia akan mendatangkan bahaya kepada semua pengguna di sini.

“Saya menyokong segala idea kerajaan untuk mengurangkan masalah lalu lintas di ibu kota dan pembangunan seperti pembinaan MRT tetapi tolong jangan letakkan rakyat di tempat yang boleh mendatangkan kemudaratan,” keluh beliau.

Bagi Mirrah Aziz, 28, beliau tidak menyokong idea pembinaan stesen MRT bawah tanah kerana terlalu banyak komplikasi yang akan timbul seperti risiko keselamatan, ketidakselesaan dan aktiviti bisnes seharian turut terjejas.

“Saya tidak sokong dengan projek pembinaan ini, kerana banyak masalah boleh timbul, malah nyawa kami di atas ini umpama telur di hujung tanduk.

“Kita tak tahu apa yang akan berlaku di bawah sana, bayangkan jika berlaku letupan atau runtuhan, selain daripada pekerja di tapak projek, kita di atas ini pun akan terkena tempias sekali.

“Saya setuju dengan pembinaan stesen MRT ini tapi jangan bina di bawah, bahaya sebab terlalu banyak manusia yang ada di sini, cuba buat di luar.

“Selain itu, operasi bisnes di hotel ini juga akan terganggu, kerana bunyi bising dan gegaran. Pelanggan kami terdiri daripada golongan atasan dan pertengahan jadi ini akan mendatangkan ketidakselesaan kepada mereka,” katanya yang sudah berkhidmat hampir 10 tahun dalam bidang perhotelan.

Jika projek ini diteruskan kerja pembinaan itu dijangka mengambil masa tiga tahun dan kos pembinaan akan menelan belanja kira-kira RM 350 juta.

Kerajaan telah memberhentikan cadangan projek ini buat seketika akibat isu-isu keselamatan dan juga kos pembinaan yang terlalu tinggi.

Projek MRT dimiliki oleh MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang diperbadankan.

Pembinaan MRT yang dijangka menelan belanja RM50 bilion adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Rel Lembah Klang; salah satu komponen Pelan Induk Pembangunan Lembah Klang.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diberi kuasa sebagai agensi penyelia projek MRT.

“Persoalannya di sini adakah pihak pemaju iaitu MRT Corp serta Gamuda selaku Project Delivery Partner (PDP) dan kerajaan sanggup mengambil risiko yang membabitkan keselamatan nyawa hampir 150,000 orang semata-mata mahu membina projek mega untuk kelihatan gah di mata dunia.

“Berdepan dengan satu lagi projek mega, amat wajar bagi semua, khususnya pemimpin negara supaya meneliti segala teguran tajam dan peringatan berguna rakyat. Kita tidak mahu disebabkan telalu mengejar kemodenan nyawa rakyat sanggup dikorbankan,” ujar MRT Watch.

Anugerah projek untuk selamatkan syarikat kroni

KUALA LUMPUR: Laporan The Edge berhubung penganugerahan projek jana kuasa tenaga lapangan hijau menggunakan arang batu (Projek 3B) 2,000 MW kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menimbulkan pelbagai tanda tanya umum terhadap syarikat kroni yang dibebani hutang berbilion ringgit itu.

Malah keputusan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menganugerahkan projek tersebut kepada 1MDB dipercayai lebih didorong kepada usaha menyelamat syarikat yang kini dibelenggu hutang melebihi RM40 bilion.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam satu kenyataan media menyifatkan penganugerahan projek itu sebagai usaha terdesak menyelamatkan syarikat disukai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, sejak 2012, 1MDB meneruskan strategi pemerolehan secara melulu untuk mengambil alih penjana tenaga bebas (IPP) yang kontraknya sudah berakhir pada premium sangat tinggi dengan pinjaman.

Menurut Pua (gambar), 1MDB telah memperoleh Tanjong Energy Sdn Bhd dengan harga RM8.5 bilion, Genting Sanyen (RM2.35 bilion) dan loji jana kuasa Jimah (RM1.2 bilion) membabitkan kos keseluruhan RM12.05 bilion.

“Namun The Edge melaporkan bahawa aliran tunai yang terhasil daripada projek ini digunakan untuk menanggung faedah hutang 1MDB sebanyak RM650 juta.

“Ia tidak memerlukan genius kewangan untuk mengetahui bagaimana mereka membayar balik pinjaman berbilion ringgit,” ujar beliau.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, projek tenaga misteri itu telah menambah skandal pelaburan 1MDB di Pulau Cayman yang membabitkan pelaburan usahasama dengan PetroSaudi International Limited bernilai US$2.3 bilion (RM7.63 bilion).

“Nampaknya penipuan kewangan menyebabkan KPMG, juruaudit luar 1MDB melepaskan jawatan daripada menandatangani akaun yang tidak dapat disahkan,” katanya.

Beliau kesal kerana pentadbiran Najib seolah-olah merancang menganugerahkan konsesi IPP kepada 1MDB walaupun ia akan menyebabkan kos elektrik naik lebih tinggi hanya kerana mahu menutup defisit besar syarikat tersebut.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan yang langsung tidak mengambil kira bebanan ditanggung rakyat, sekaligus bertentangan dengan slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

“Jika tawaran lebih tinggi dipilih, ia hanya mengukuhkan lagi bahawa Najib dan Kabinetnya tidak ikhlas membantu rakyat dan hanya berminat pada keuntungan serta menyelamatkan syarikat berkaitan dengan pentadbiran mereka,” ujarnya.

Sumber :

Tabung Murabitun Untuk Petugas Parti


SHAH ALAM: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKP) akan mewujudkan 'Tabung Murabitun' bagi menampung keperluan petugas parti sepenuh masa dan ahli-ahli yang kurang berkemampuan.

Pengerusi LKKP, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, dalam pada melakukan kebajikan kepada masyarakat, LKKP akan turut memberikan perhatian yang serius kepada kebajikan ahli sendiri.

Beliau berkata, tabung khusus untuk menyokong pendapatan petugas parti amat penting supaya mereka tidak berasa diabaikan dan dapat melaksanakan tugas parti tanpa gangguan masalah kewangan.

"Tabung murabitun ini khusus untuk menampung keperluan petugas sepenuh masa PAS, untuk keperluan ahli keluarga mereka dan duit tabung juga akan disalurkan kepada ahli yang menghadapi masalah kewangan untuk membantu parti.

"Kita tidak mahu lajnah kebajikan hanya membantu masyarakat di luar sedangkan kebajikan petugas dan ahli kita sendiri terabai. Tabung ini memang khusus untuk keperluan petugas parti," katanya pada Retreat LKKKP di Hotel De Palma, dekat sini semalam.

Selain itu, LKKP juga akan menitikberatkan pendidikan anak-anak ahli PAS dengan mengadakan program-program akademik dan pembentukan akhlak dan sahsiah setiap kali cuti sekolah.

Bagi mencapai matlamat ini, LKKP akan bekerjasama dengan beberapa konsultan bagi mengadakan Kem Anak Soleh mengikut peringkat umur, dua kali setahun.

"Ada di kalangan ahli kita tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke kem cuti sekolah kerana yuran yang mahal, jadi kita akan kumpul anak-anak yang kurang berkemampuan dan hantar ke Kem Anak Soleh setiap kali cuti sekolah pada bulan Mei dan hujung tahun.

"Kita akan tanggung kos dan mungkin mereka kena bayar 20 peratus sahaja daripada kos yang dikenakan. Ini bagi memastikan anak-anak ahli juga berpeluang menyertai kem sebagai nilai tambah kepada diri mereka," katanya lagi.

Sebanyak 12 unit dalam LKKP berjaya membentangkan hala tuju dan pelan tindakan mereka pada retreat hampir sehari itu.

Unit-unit dalam LKKP ialah Unit Semarak Kasih Ramadan, Qurban Perdana, Skuad Prihatin, Baitul Muslim, Kem Anak Soleh, Sekretariat Prihatin OKU, Ziarah Prihatin, Jaringan Kebajikan Sivil @ NGO, Asnaf, Kebajikan Antarabangsa (Mustadh'afin), Dana dan unit dokumentasi. 

Retreat dihadiri wakil-wakil LKKP Pusat selain wakil-wakil LKKP negeri-negeri. 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi LKKP, Dr Riduan Mohd Nor berkata, LKKP akan bergerak aktif dengan jaringan NGO dalam dan luar negara bagi mengembangkan lagi kebajikan kepada masyarakat.

"Di Malaysia ada banyak NGO berbentuk kebajikan dan LKKP akan mengadakan kerjasama dengan mereka bagi memudahkan saluran bantuan kepada masyarakat dalam negara dan juga luar negara seperti Syria, Palestin dan Myanmar kerana kebajikan dan dakwah kita merentas sempadan," katanya. 

Dalam pada itu, selama enam tahun berturut-turut LKKP mengadakan program Semarak Kasih Ramadan Lorong Haji Taib sehingga program tersebut menjadi sebutan dan ditunggu-tunggu warga Lorong Haji Taib setiap kali tibanya Ramadan.

"Program ini bermula sewaktu Allahyarham Dr Lo' Lo' pegang LKKP lagi dan beliau yang memulakan program ini.

"Pada mulanya agak sukar untuk mendekati dan menarik pekerja-pekerja seks, anak-anak gelandangan di Lorong Hai Taib untuk bersama kita tapi tahun demi tahun, mereka semakin mesra dan tidak takut lagi untuk mendekati kita.

"Ini satu kejayaan bagi LKKP dalam mendekati masyarakat bermasalah kerana kebajikan dan dakwah kita bukan boleh dilakukan dalam sekelip mata tetapi untuk kesan jangka masa panjang juga," kata Dr. Mariah.

Pro-Pakatan Facebook Pages Blocked In Malaysia?


Beberapa akaun laman Facebook pro-Pakatan yang popular tidak boleh dilayari di Malaysia sejak tengahari semalam, mencetuskan spekulasi bahawa laman sosial itu disekat di sini.

Percubaan untuk melayari laman sosial Facebook yang terlibat tetapi pelokasi sumber seragam (URL) mengarahkan kembali ke laman utama Facebook.

Berdasarkan kenyataan akhbar Biro Ekonomi DAP Perak Chong Zhemin, laman Facebook yang terlibat termasuklah 'We Fully Support PKR' dan 'Zhong Zheng Kuai Xun'.

Laman itu antara yang popular di kalangan komuniti Cina khususnya sewaktu pilihan raya umum ke-13 lalu, mengedarkan mesej pro-Pakatan dan mencatatkan sehingga 500,000 'likes'.

Seorang pelajar Malaysia yang kini menyambung pelajaran di Amerika Syarikat mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa beliau boleh melayari laman sosial yang disebutkan, dari negara itu.

'Permohonan BR1M Yang Ditolak Boleh Dirayu'


Pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang ditolak permohonannya boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk dipertimbangkan semula.
    
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata mereka boleh berbuat demikian dengan mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang LHDN di www.hasil.gov.my atau terus ke pejabat LHDN berhampiran.
    
"Mereka yang ditolak permohonan boleh merayu dengan kaedah yang ditetapkan, contohnya tahun lepas seorang bapa kita tolak permohonannya untuk mendapatkan BR1M kerana rekod kita mendapati beliau baru sahaja membeli sebuah kereta Proton Perdana model baru.
    
"Namun beliau kemudian membuat rayuan dan memaklumkan kereta itu milik anaknya dan kita telah meluluskan permohonannya untuk mendapatkan bantuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Seri Perdana, Sekolah Kebangsaan (LKTP) Bukit Goh di Kuantan semalam.
    
Menurutnya kerajaan sentiasa berusaha menambah baik pemberian BR1M untuk mengurangkan bebanan rakyat dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup pada masa kini, sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mereka.
    
Untuk BR1M 3.0 yang mula diagihkan semalam, kerajaan memperuntukkan RM4.6 bilion yang memberi manfaat kepada 7.9 juta penerima dan antara penambahbaikan yang dilakukan ialah memperluas pemberian kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000.
    
Selain itu kerajaan turut memperkenalkan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) bernilai RM50 kepada penerima isi rumah BR1M dengan nilai perlindungan minimum RM1,000 (kematian biasa) dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.
    
-Bernama

Gadis 15 Tahun Ganti Ibu Menari Tarian Lucah


Gadis 15 tahun ganti ibu menari tarian lucah
SERDANG - Seorang ibu tergamak membiarkan anak perempuannya berusia 15 tahun menggantikan dirinya untuk menghibur pelanggan dengan menyanyi dan menari tarian lucah di Medan Selera Serdang, Taman Perindustrian Bukit Serdang, malam kelmarin.

Gadis tersebut mendakwa dia terpaksa berbuat demikian bagi menggantikan ibunya yang tidak sihat dan tidak mampu memberi persembahan kepada pelanggan yang berkunjung ke medan selera tersebut.

Difahamkan, remaja perempuan itu tidak bersekolah sejak setahun lalu dan masa terluang diisi dengan bekerja bersama ibunya.

Dalam Ops Noda dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, remaja perempuan dan ibunya berusia 53 tahun antara 15 yang dicekup leka membuat persembahan mengghairahkan di atas pentas dengan berpakaian menjolok mata.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik IPD Serdang, Deputi Superintendan Ramsay Embol berkata, hasil maklumat awam, beliau bersama 23 anggota menyerbu medan selera yang turut menempatkan sebuah pentas di bahagian tengah premis kira-kira jam 11 malam.

Tujuh wanita warga tempatan, tujuh warga China dan seorang warga Thailand masing-masing berusia antara 15 hingga 55 tahun didapati leka membuat tarian dengan lentok tubuh badan yang menggiurkan kepada pengunjung.

“Penari akan dikalung bunga oleh pelanggan yang berpuas hati dengan persembahan mereka selain menerima tips antara RM10 dan RM100 daripada pengunjung,” katanya.

Kesemua yang ditahan termasuk dua penjaga warga tempatan dibawa ke Balai Polis Seri Kembangan untuk tindakan lanjut.

Pengusaha didapati tidak mempunyai permit untuk menjalankan aktiviti hiburan selain menggaji pekerja tanpa permit.

Manakala warga asing pula didapati menyalahgunakan pas pelawat, pas pelajar dan pasport tamat tempoh serta tinggal lebih masa.

Anti hadis: Umat Islam jangan terkeliru

Ahmad Yakob
TUMPAT – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyeru umat Islam supaya jangan terpengaruh dengan golongan anti hadis kerana golongan itu juga cenderung ke arah anti al-Quran.

Menurutnya, di dalam al-Quran jelas ada hujah padat bahawa sebagai umat Islam perlu patuh pada ajaran Islam dan Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh ALLAH SWT .

“Amat kesal apa yang berlaku hari ini, mana-mana yang terpesong dan terpengaruh dengan golongan anti hadis diminta bertaubat dan kembali pada jalan yang benar.

“Umat Islam jangan terkeliru dengan golongan ini kerana ia merosakkan akidah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Dhuafat kepada seorang warga emas, Minah Salleh di Kampung Hutan Jambu di Kok Pasir, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar.

Baru-baru ini, Kassim Ahmad merupakan seorang karyawan dan bekas aktivis politik mencetuskan kontroversi apabila mengkritik golongan ulama Islam yang disifatkannya sebagai ‘kasta paderi’ serta mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak perlu dimuliakan selain rambut bukanlah aurat bagi wanita.

Dalam pada itu, Ahmad menyeru agar jangan membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam kerana agama Islam adalah agama rasmi negara.

“Menghina Nabi Muhammad, menghina al-Quran, itu boleh menyentuh sensitiviti umat Islam, elakkan perkara itu terjadi,” katanya.

Wajah Orang Yang Paling Pandai Berjanji Dan Di Cepati....

  • Najib Tun RazakDatuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Rakyat diingat untuk tidak lagi tertipu dengan janji manis pembangkang yang hanya berminat untuk ke Putrajaya bukan membela nasib rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangkang hanya pandai berjanji tetapi tidak untuk ditepati.

"Jangan tertipu banyak kali... Dah kene tipu 16 September, mereka tipu pula mengenai 40,000 Bangladesh pula. Rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan hanya 12 orang dalam tempoh 10 tahun warga Bangladesh berjaya mendapat warganegara.

"Mereka kata ada lampu padam kita curi peti undi, rakyat tertipu lagi. Dia kata kalau kalah nak jadi pensyarah, tapi pergi bertanding di Kajang pula, " katanya ketika berucap pada perlancaran BR1M dan I-BR1M 2014, hari ini.

Dalam ucapannya itu, Najib turut menyifatkan yang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang hanya berminat untuk mengejar kuasa bukannya memikirkan kepentingan rakyat.

"Pembangkang buat manifesto yang sedap didengar tapi fokusnya hanya untuk ke Putrajaya, " katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa mencari idea dan pendekatan baru untuj merancakkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

"BN berbeza dengan pembangkang, mereka lancar Bersih satu, dua dan tiga. Tetapi sebagai kerajaan bertanggungjawab kita lancar BR1M satu dua dan tiga.

"Insya- ALLAH dengan izin ALLAH kita akan lancar BR1M empat dan lima," katanya.

Tambah beliau, pemberian BR1M ini bukan gula-gula pilihan raya tetapi untuk berkongsi kekayaan dengam mereka yang memerlukan.

Najib berkata, kerajaan akan menambah baik kaedah pemberian BR1M dari masa ke semasa.

Seramai 7 juta penerima BR1M tahun ini dengan peruntukan RM 4.5 bilion. Penerima BR1M boleh mengemaskini akaun mereka bermula semalam.

Menurut Najib, kerajaan mengenal pasti langkah terbaru itu lebih efektif dan memudahkan rakyat.

"Kalau kita serah tunai pada keseluruhannya, ambil masa hingga tiga bulan baru selesai. Ada benda orang tak boleh tunggu, masuk melalui akaun lebih efisyen. InsyaAllah dalam tempoh lima tahun akan datang BR1M akan dinaikkan kepada RM1200," katanya.

Pertahan Kassim: Mahathir perlu letak jawatan YDP Perkim


KUALA LUMPUR: Hampir 1,000 umat Islam hari ini berhimpun di perkarangan Masjid Negara sejurus solat Jumaat bagi membantah kebiadaban pelopor antihadis Kassim Ahmad.

Rata-rata mereka membawa plakad antaranya bertulis "Ambil tindakan segera", "Kassim Ahmad taubat", "Pertahan Islam" serta "Kassim Ahmad pesong akidah umat Islam".


Mereka mendesak pihak berkuasa segera megambil tindakan terhadap Kassim yang secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan akidah Islam. 


Kassim dalam satu seminar yang diadakan di Putrajaya pada Ahad lalu dilaporkan  mengkritik “kasta paderi” yang dipanggil ulama, pendewaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata rambut bukan aurat wanita.


Seminar 'Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian' itu turut dihadiri bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad ketika berucap menyelar tindakan Dr Mahathir yang menyokong pandangan Kassim Ahmad dan menyifatkannya sebagai memalukan negara apatah lagi beliau ialah Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).


"Dia yang rasmi seminar tersebut, maka jelas kepada kita bahawa Mahathir merestui pemikiran Kassim Ahmad.


"Kita desak supaya Dr Mahathir meletakkan jawatan beliau sebagai Yang Dipertua Perkim," kata beliau.


Gambaran salah


Dalam pada itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan membisu pihak berkuasa terhadap Kassim Ahmad dan pada masa sama dipertahan pula oleh Mahathir, telah memberi gambaran salah kepada dunia.


"Seolah-olah kita memberi gambaran bahawa Malaysia, sebuah negara umat Islam, perdana menterinya Islam, menteri-menteri besar beragama Islam, bersekongkol dan membenarkan ajaran sesat ini diamalkan," kata beliau.


Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus turut mendesak Yayasan Kepimpinan Perdana selaku penganjur seminar pemikiran Kassim Ahmad, untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam.


Beliau juga menyeru semua umat Islam menggunakan semua medium yang ada termasuk laman sosial untuk menyatakan bantahan terhadap pemikiran sesat tersebut.


Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Azhar Yahaya berkata, amat malang apabila fatwa sesat terhadap Kassim Ahmad yang telah diwartakan sejak 30 tahun lalu hanya dipandang sebelah mata oleh penguatkuasa agama.


"30 tahun sudah difatwakan sesat, tetapi Kassim Ahmad terus dibiarkan menyebarkan fahaman beliau.


"Tentu ada tangan-tangan di belakang dia sehingga dia kebal dari tindakan undang-undang," kata beliau.


Turut berucap pada himpunan itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzzaman Mohamad.