Malaysia tidak wajar menjadikan Brunei sebagai rujukan untuk melaksanakan hudud kerana sistem politik dan kerajaan yang berbeza, kata Tun Abdul Hamid Mohamad.
Bekas ketua hakim negara itu berkata, Brunei adalah sebuah negara yang mengamalkan monarki mutlak, berbeza dengan Malaysia sebagai sebuah negara mengamalkan raja berperlembagaan.
"Sistem politik dan kerajaan Brunei adalah monarki mutlak.
"Bermakna, sultan mempunyai kuasa eksekutif mutlak dan kuasa perundangan," katanya ketika membentangkan kertas kerja di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), hari ini.
Dalam pembentangan kertas kerja bertajuk, "Implementation of Hudud in Brunei Darussalam: Differences between Brunei Darussalam and Malaysia”, Abdul Hamid menegaskan Brunei tidak memiliki Perlembagaan Persekutuan seperti Malaysia dimana ia merupakan asas undang-undang negara.
"Tidak terdapat peruntukan mengatakan Perlembagaan adalah undang-undang agung negara dan sebarang undang-undang yang tidak seiring dengannya adalah tidak sah.
"Tidak juga terdapat peruntukan mengenai kebebasan asas, pilihan raya, kehakiman dan Mahkamah Syariah," kata Abdul Hamid lagi.
Menurutnya lagi, sistem politik Brunei sama sekali berbeza dengan kerajaan Malaysia dimana sistem pentadbirannya berteraskan persekutuan (federation).
"Malaysia adalah persekutuan.
"Perlembagaan adalah undang-undang agung negara dan apa-apa undang-undang yang tidak konsisten adalah tidak sah," terangnya lagi.
Di Malaysia, setiap lima tahun sekali pilihan raya diadakan bagi memilih kerajaan tetapi Brunei sejak tahun 1962 tidak pernah mengadakan pilihan raya.
"Bagaimanapun, sejak tahun 1962 tiada satu pun pilihan raya yang diadakan di Brunei selepas darurat.
"Malah, ahli-ahli dalam Majlis Perundangan Brunei dipilih oleh Sultan sendiri," terangnya lagi.
Situasi tersebut berbeza sama sekali dengan Malaysia dimana Kabinet dan kerajaan Malaysia bertanggungjawab menjawab kepada para pengundi yang memilih mereka, serta juga menjatuhkan kerajaan.
"Kabinet dan kerajaan perlu menjawab kepada pengundi yang mungkin juga boleh menjatuhkan kerajaan.
"Yang DiPertuan Agong bertindak atas nasihat Kabinet," katanya lagi.
Selain itu, Abdul Hamid berkata masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan hukum hudud di Brunei kerana ia masih lagi belum dijalankan sebaliknya baru sahaja selesai digazetkan.
"Kita tidak di dalam kedudukan untuk menilai pelaksanaan undang-undang itu di Brunei kerana ia belum dilaksanakan.
"Mungkin tiga atau lima tahun, kita boleh melihat hasil dan kesan sebenar pelaksanaan undang-undang tersebut," terangnya lagi.
Dalam pada itu, Abdul Hamid menjelaskan situasi di Brunei mempunyai kelainan kerana pelaksanaan hudud bukan bermotifkan politik.
"Sekurang-kurangnya wujud perbezaan dalam kes Brunei. Di Brunei, pengenalan hukum hudud tidak bermotifkan untuk kepentingan politik atau memenangi pilihan raya.
"Kajian sudah dilakukan sejak 30 tahun lalu dan masih tidak lengkap. Kita ucapkan selamat berjaya kepada mereka," katanya lagi.
Pada Oktober 2013, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan pengazetan kta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah yang merangkumi pelaksanaan hukum hudud.
Susulan pengumuman tersebut, beberapa pihak dan parti politik mendesak supaya kerajaan pemerintah Malaysia untuk mengambil pendekatan sama. – tmi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan