SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Isnin, 26 Januari 2015

PAC belum bercadang panggil 1MDB

 
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) belum bercadang memangggil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menjawab persoalan mengenai pelaburan dan operasi syarikat itu kerana prestasi kewangannya sudah diaudit firma antarabangsa terkemuka.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata  bagaimanapun pihaknya menyambut baik jika Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB yang baharu, Arul Kanda Kandasamy mahu hadir secara sukarela bagi memberikan penjelasan di hadapan PAC.

"Kami tidak akan memanggil 1MDB, bagaimanapun jika Arul Kanda mahu hadir secara sukarela bagi memberikan penjelasan di hadapan PAC...ia sesuatu yang amat dialu-alukan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata setakat ini, PAC berpendapat kedudukan kewangan 1MDB belum berdepan dengan sebarang masalah memandangkan ia sudah diaudit firma audit antarabangsa, dan belum ada bukti kukuh syarikat berkenaan menghadapi sebarang masalah.

1MDB, syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan Malaysia, pada 13 Jan lepas memaklumkan telah menebus semula sepenuhnya US$2.318 bilion yang dilaburkan oleh syarikat itu dalam dana berdaftar di Kepulauan Cayman.

Arul Kanda dalam kenyataannya berkata dana itu merupakan pembayaran semula pinjaman yang disediakan kepada PetroSaudi pada 2011 dalam bentuk nota-nota Murahaba susulan penamatan perjanjian sebelum ini yang dimeterai untuk menjalin usaha sama dengan syarikat itu.

Nota-nota berkenaan yang dibayar sepenuhnya dan faedah, kemudian dilaburkan dalam dana yang dikawal selia oleh Pihak Berkuasa Monetari Cayman.

Sebelum ini, 1MDB menebus US$1.215 bilion yang mewakili 60 peratus dana yang dilabur, dan kini menebus tambahan US$1.103 bilion yang membabitkan baki daripada sejumlah US$2.318 bilion yang dilaburkan pada asalnya.

Nur Jazlan berkata PAC belum  berpeluang membincangkan mengenai isu 1MDB secara rasmi dalam mesyuaratnya dan belum bercadang memanggil syarikat berkenaan bagi memberikan sebarang penjelasan.

Beliau juga berkata isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dan 1MDB adalah dua perkara yang berbeza kerana KLIA2 adalah berkaitan dengan kenaikan kos, pertukaran reka bentuk, kelewatan dan kualiti pembinaan serta pemilihan kontraktor.

PAC telah memanggil Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kerana syarikat itu merupakan pengurus projek KLIA2 bagi menjelaskan mengenai perkara-perkara tersebut dan PAC tidak menyiasat mengenai kewangan MAHB yang diaudit oleh firma audit terkemuka antarabangsa, katanya.

"Orang ramai perlu faham dua isu ini dengan jelas, PAC tidak menyiasat MAHB sebaliknya hanya projek KLIA2. Dalam konteks 1MDB kita tidak bercadang memanggil mereka kerana kewangan syarikat ini sudah diaudit, jadi jangan timbul lagi sebarang kekeliruan lagi selepas ini," katanya.

Nur Jazlan bagaimanapun berharap kerajaan membenarkan Jabatan Audit Negara   melakukan audit prestasi terhadap projek KLIA2 selaras dengan syor serta rumusan Laporan PAC yang dibentangkan pada November lepas.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan