KUALA LUMPUR 17 JANUARI- Pengerusi Pemantau Jenayah MyWatch, Sri
Sanjeevan mempersoalkan bagaimana suspek pembunuhan kes berprofil tinggi
Altantuya Shaariibuu dibenarkan ke luar negara.
Menurutnya, pergerakan tertuduh, Koperal Sirul Azhar Umar yang juga
bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) sepatutnya dipantau secara rapi
selepas dibebaskan dengan ikat jamin.
“Bagaimanakah seorang suspek kes pembunuhan berprofil tinggi
meninggalkan negara tanpa disedari? Ini mesti disiasat dan sepatutnya
kita berasa malu dengan ketidakcekapan pihak berkuasa kita,” katanya
dalam kenyataan.
Sirul dan seorang lagi anggota UTK, Azilah Hadri didaapti bersalah
kerana membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah
Persekutan pada 13 Januari lalu.
Keputusan itu mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada Ogos 2013
yang membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh warga Mongolia
berkenaan.
Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan ketika
keputusan perbicaraan dan peguamnya memaklumkan tidak dapat menghubungi
tertuduh sejak enam bulan lalu.
Media kemudian melaporkan Sirul berada di Australia dan tidak mempunyai wang untuk kembali ke tanah air.
Kerajaan Australia bagaimanapun tidak membenarkan ekstradisi dibuat
ke atas Sirul bagi menjalani hukuman gantung kerana tidak memperuntukkan
hukuman mati dalam undang-undangnya.
Sanjeevan berkata, alasan kesempitan wang untuk tidak kembali ke
Malaysia bagi menghadapi pendengaran di Mahkamah Persekutuan tidak dapat
diterima sama sekali.
“Secara peribadi, saya ingin menawarkan tiket penerbangan percuma
kepada Sirul untuk pulang ke Malaysia dari Australia,” ujarnya.
Menurutnya, jika alasan itu adalah benar dan tiada niat melarikan
diri, beliau pasti tertuduh akan menerima tawaran berkenaan dan pulang
ke Malaysia untuk dijatuhi hukuman.
Sumber : Disini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan