SINGGAH LE


widgeo.net

Ku Li

Rabu, 21 Januari 2015

DAP jawab Mustafa Ali

Saya merujuk kepada laporan wawancara Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bersama akhbar Sin Chew Daily yang disiarkan pada 12 Januari 2015 yang juga dipetik oleh portal Malaysiakini.

Dalam wawancara tersebut, Datuk Mustafa Ali telah membuat beberapa andaian politik terhadap DAP, yang pihak kami merasakan tidak tepat sama sekali dan perlunya diperjelaskan secara terbuka melalui kenyataan ini.

Yang pertama, beliau mengandaikan bahawa DAP telah berputus-asa dalam usaha menuju ke Putrajaya dan berpuas hati dengan kedudukan sekarang dengan mentadbir kerajaann negeri Pulau Pinang dan hanya ingin memenangi kerusi tambahan di Sarawak.

DAP ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah berputus-asa dalam usaha menumbangkan BN di peringkat Persekutuan dan membentuk kerajaan yang baru di Putrajaya dalam kerangka Pakatan Rakyat.

Ini kerana DAP bersama-sama dengan PKR dan PAS membawa obor harapan 52 peratus rakyat Malaysia yang telah memberikan mandat kepada kami dalam pilihan raya umum ke-13.

Justeru itu, semua parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai tanggungjawab untuk merealisasikan harapan majoriti rakyat Malaysia untuk membentuk sebuah kerajaan baru di Putrajaya.

Itulah sebabnya DAP terus memberikan komitmen penuh untuk memastikan Pakatan Rakyat terus kekal walaupun terdapat banyak isu dan perbezaan di antara kami dengan PAS dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Komitmen ini dapat dibuktikan dengan sokongan kami kepada rakan-rakan dalam PAS khususnya di Kelantan dalam menghadapi musibah banjir di pantai timur baru-baru ini.

Walaupun kami tidak bersetuju dengan kerajaan negeri Kelantan berkenaan dengan isu hudud, kami mengenepikan perbezaan tersebut untuk membantu dan menyokong usaha pemulihan pasca banjir di Kelantan atas dasar kemanusiaan.

Yang keduanya, Datuk Mustafa Ali mendakwa bahawa pimpinan DAP merendah-rendahkan dan memburuk-burukkan PAS. Kami ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah dan tidak berniat untuk memburukkan sesiapa dalam PAS.

Kami hanya berpandangan kritikal terhadap keputusan PAS Kelantan untuk meneruskan usaha pelaksanaan hukum hudud di Kelantan kerana keputusan tersebut bukannya konsensus dalam Pakatan Rakyat dan tidak pernah dibawa untuk perbincangan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat.

Hudud bukan dasar bersama

Umum diketahui bahawa pelaksanaan hukum hudud di mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia BUKANNYA dasar bersama yang dipersetujui oleh parti-parti Pakatan Rakyat.

Konsensus yang dicapai oleh ketiga-tiga parti pada 28 September 2011 ialah, walaupun hak parti PAS untuk memperjuangkan isu hudud dihormati, namun adalah ditegaskan bahawa apa-apa usaha untuk melaksanakan hudud di mana-mana negeri perlu dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dan konsensus perlu dicapai.

DAP ingin menegaskan bahawa pucuk pimpinan PAS tidak pernah membangkitkan isu pelaksanaan hudud di Kelantan ataupun usaha mereka untuk membentangkan Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen untuk membenarkan pelaksanaan hudud di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Itu yang menyebabkan DAP terpaksa mengkritik keputusan PAS secara terbuka.

Yang ketiga, Datuk Mustafa Ali membangkitkan soal isu pilihanraya kerajaan tempatan yang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan mengatakan bahawa PAS membantah keputusan tersebut.

DAP amat terkilan dengan pandangan tersebut kerana bagi kami, agenda pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan adalah selari dengan agenda pendemokrasian dalam semua peringkat kerajaan yang merupakan antara tunjang dasar bersama Pakatan Rakyat.

Kami tidak faham mengapa PAS tidak bersetuju malah membantah usaha untuk mengembalikan proses pilihanraya kerajaan tempatan. Mungkin hanya pimpinan tertinggi PAS sendiri sahaja yang mengetahui alasannya dan dapat menjelaskan sebab bantahan mereka.

Kesimpulannya, DAP tetap komited terhadap perjuangan Pakatan Rakyat untuk membawa politik baru di Malaysia dan menjadi alternatif kepada BN di peringkat persekutuan.

Kami yakin Pakatan Rakyat akan berjaya sampai di Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-14 sekiranya semua parti dalam Pakatan iaitu PAS, PKR dan DAP dapat terus memartabatkan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui bersama.

Dan menumpukan segala usaha kami secara bersama untuk memperjuangkan isu-isu keadilan, pentadbiran yang baik, memerangi rasuah, kebajikan rakyat dan pada masa yang sama mengenepikan segala isu yang tidak mendapat konsensus daripada ketiga-tiga parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan